Taun merebak pantas di Lubnan
2 min readPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran penularan taun merebak ‘dengan pantas’ di seluruh Lubnan, diburukkan lagi dengan krisis ekonomi berpanjangan dan infrastruktur yang musnah.
Penularan taun pertama di Lubnan sejak beberapa dekad bermula awal bulan ini, selepas jangkitannya merebak dari Syria.
Wakil WHO di Lubnan, Abdinasir Abubakar, berkata keadaan di negara itu kini rapuh susulan bergelut dengan krisis lain, diburukkan lagi oleh kemerosotan politik dan ekonomi berpanjangan.
WHO dalam kenyataan berkata, lebih 1,400 kes disyaki, termasuk 381 kes disahkan dan 17 kematian dilaporkan di Lubnan, sejak 5 Oktober lalu.
Katanya, jangkitan ‘merebak dengan pantas’ di seluruh Lubnan, biarpun penularan awal terhad di kawasan utara.
WHO berkata, pihaknya sudah membantu Lubnan mendapatkan 600,000 dos vaksin, selain berusaha mendapatkan lebih banyak lagi secara ‘berterusan memandangkan penularan terlalu pantas bagi ditangani’.
Taun biasanya dijangkiti daripada makanan atau air tercemar, menyebabkan cirit-birit dan muntah, selain boleh merebak ke kawasan perumahan yang kekurangan rangkaian pembetungan.
Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penularan taun di Lubnan menyusuli gelombang di Syria baru-baru ini, yang berpunca akibat kerosakan hampir dua pertiga loji rawatan air, sebahagian stesen pam dan satu pertiga menara air, akibat peperangan.
Sungai Euphrates yang dicemari kumbahan dipercayai menjadi punca utama penularan taun di Syria sejak 2009.
WHO berkata, strain taun di Lubnan dikenal pasti ‘sama seperti yang tersebar di Syria’, manakala pihak berkuasa Lubnan berkata kebanyakan kes adalah dalam kalangan pelarian Syria.
Lubnan menempatkan lebih sejuta pelarian Syria, kebanyakan mereka sudah dilanda kemiskinan sebelum kejatuhan ekonomi Lubnan sejak tiga tahun lalu.
Menurut WHO, taun boleh membunuh dalam tempoh beberapa jika tidak dirawat tetapi ramai yang dijangkiti hanya menunjukkan gejala ringan atau tiada gejala.
Pada peringkat global, taun menjangkiti antara 1.3 juta hingga empat juta orang setiap tahun, membunuh antara 21,000 hingga 143,000 mangsa.