December 6, 2023

Barisan kepimpinan baharu terus terajui MKHA membantu homestay pulih dari era pandemik

2 min read

Sebahagian para perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) bergambar di perkarangan Hotel Perkasa, Kundasang selepas selesai mesyuarat pada 30 Oktober lepas.

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) di Kundasang, Sabah berjalan lancar dengan pemilihan barisan kepimpinan baharu turut diadakan pada mesyuarat tersebut.

Program kali ke-7 itu diadakan di Kundasang menghimpunkan kira-kira 150 orang perwakilan terdiri daripada pengusaha Homestay dan Kampungstay dari seluruh Malaysia.

Para perwakilan datang dari negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak bermesyuarat di Dewan Hotel Perkasa yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

Para perwakilan turut bergambar bersama dengan ADUN Sabah, Datuk Amisah Yassin (empat, dari kanan) sebelum memulakan mesyuarat.

Dalam ucapan pembukaan, Presiden MKHA Zohaime Muhamad Sori berkata pelbagai usaha digerakkan oleh pihak persatuan untuk berhubung rapat dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mendapatkan manfaat untuk semua pengusaha yang berdaftar.

Menurut beliau, ia bertujuan membantu ramai pengusaha yang terkesan serta terjejas akibat pandemik kira-kira dua tahun lalu dan amat sukar mendapat pengunjung pula selepas pandemik mula beransur-ansur pulih.

Oleh itu, satu inisiatif diambil oleh MKHA iaitu mengajak pengusaha Homestay untuk melawat Homestay lain di negeri lain bagi membantu antara satu sama lain dengan secara tidak langsung mengembalikan sumber pendapatan mereka.

“Apabila ada pergerakan, ekonomi juga bergerak sebab ada perbelanjaan berlaku seperti tiket pesawat, sewaan bas, makan minum, pembelian runcit dan banyak lagi.

“Kalau kita tunggu pelancong dari luar, bilangan kemasukan belum memberangsangkan sebab banyak negara belum membuka pintu lagi, keyakinan mereka juga belum kuat dan jika ada pun, perbelanjaan mereka sedikit sahaja,” katanya.

Zohaime berkata para perwakilan yang datang dari pelbagai negeri ke Sabah bukan sahaja untuk hadir mesyuarat tetapi membawa homestay dari Semenanjung Malaysia melawat homestay di Sabah untuk membantu homestay di kawasan Borneo ini.

“Secara tidak langsung, para pengusaha dibawa melancong ke negeri Sabah dan membawa wang masuk ke negeri Sabah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Datuk Amisah Yassin ketika menyampaikan ucapan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MKA.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Datuk Amisah Yassin.

Dalam ucapannya beliau menyambut baik langkah mempromosikan homestay melawat homestay kerana semua pengusaha akan bergantung antara satu sama lain pada masa sukar ini dan pada masa sama boleh bertukar pengalaman merasai apa keunikan yang ada di homestay lain di negeri berbeza.

Pada mesyuarat berkenaan Zohaime dipilih sekali lagi untuk kekal menerajui MKHA sebagai Presiden dibantu oleh Timbalan Presiden 1 Kohadie Watiman dan Timbalan Presiden 2 Jamilah@Hairuni Syukri dalam keputusan pemilihan yang diumumkan.

Manakala bagi jawatan Exco, mereka yang dipilih ialah Mohd Rusdi Rahman, Hishamudin Ahmad, Norashikin Ali, Arlieda Ahmad dan Md Ezam Md Da’imon.

Dalam ucapan penangguhan, Zohaime yang sudah masuk penggal ke-3 menerajui MKHA berkata beliau berharap selepas ini ada orang baharu yang akan mengambil teraju memimpin MKHA.

Zohaime berharap barisan teraju kepimpinan baharu MKHA akan terus aktif berhubung akrab dengan kerajaan khususnya MOTAC untuk membantu tarikan pelancongan Homestay berjaya terus digerakkan menjadi daya penarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Usai mesyuarat, para perwakilan menggunakan kesempatan yang ada bergambar secara berkumpulan di halaman hotel dengan latar belakang Gunung Kinabalu tersergam indah. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *