November 27, 2022

Hujan berterusan, Kampung Iboi dilanda banjir lagi

1 min read

Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan Kampung Iboi, Baling, sekali lagi ditenggelami banjir yang menyaksikan air Sungai Kupang melimpah hingga mencecah lantai Jambatan Bailey.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 petang berhubung insiden banjir di kampung itu.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan jumlah mangsa banjir masih dalam bancian.

“Hujan lebat di sekitar daerah Baling menyebabkan air sungai melimpah ke tebing di Kampung Iboi dan Padang Empang.

“Hasil pemantauan APM di kampung itu mendapati air semakin naik, justeru penduduk diarahkan berpindah atas faktor keselamatan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata penduduk dipindahkan ke PPS Surau Ittifaqiah di Kampung Iboi, malam ini.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.