Tumpu pada kerusi sukar menang pada PRU15, BN mampu menang majoriti dua pertiga
2 min read
Barisan Nasional (BN) kini perlu berusaha lebih keras untuk cuba memenangi kerusi yang sebelum ini dikatakan sukar dimenangi dek kerana pembangkang yang kuat.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini pembangkang yang dikatakan kuat pada PRU sebelum ini sudah nampak tidak kuat lagi mereka sudah berpecah teruk kepada beberapa parti.
Gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU ke-14 pada 2018 kini sudah berkecai kepada banyak serpihan yang juga ada misi yang sama untuk mengalahkan mereka.
Daripada serpihan PH lahir Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) menunjukkan mereka tidak mempunyai hubungan yang kukuh seandainya mereka ingin bergerak sebagai satu pakatan.
Jika dilihat di sekitar Lembah Klang, kerusi seperti P115 Parlimen Batu, P117 Segambut, P114 Kepong, P107 Sungai Buloh dan P124 Bandar Tun Razak telah dilabelkan sebagai kerusi yang sukar menang malahan dikatakan kerusi kalah bagi BN tetapi persepsi itu mesti diubah pada PRU15 kali ini.
Kelihatan BN banyak hilang kerusi Parlimen di Lembah Klang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding di luar ibu negara.
Satup pemerhatian khusus perlu dijalankan oleh BN ke atas kerusi-kerusi panas ini untuk melihat kerusi mana yang majoritinya boleh diusahakan untuk menang dan gerakan kempen oleh jentera BN mesti digerakkan secara agresif.
Dalam siri kempen, berusaha untuk betul-betul selesaikan masalah setempat yang dialami oleh pengundi dengan cepat. Tabur janji melibatkan masalah yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek dan elak buat serangan peribadi atau menyerang pemimpin pembangkang yang sudah dalam perpecahan.
Kalau diperhatikan, jika digerakkan dengan lebih agresif BN mempunyai peluang yang amat cerah untuk menang secara solo pada PRU15 kali ini dengan memperolehi kerusi dalam Dewan Rakyat yang lebih banyak serta mampu untuk menang majoriti dua pertiga.
Pembangkang iaitu parti yang anti-BN masih lagi menggunakan bahan lama iaitu menyerang BN dengan isu kes 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak langsung mengeluarkan idea baharu untuk memulihkan negara dari belenggu masalah berkaitan pandemik sejak lebih dua tahun lepas.
Ketepikan perselisihan faham akibat tidak dipilih dari menjadi calon dan berikan fokus kepada memastikan BN menang pada PRU15 kali ini untuk memberikan satu kerajaan yang stabil dan kukuh untuk rakyat Malaysia. – SEPATAH DUA