January 30, 2023

PRU15: Muhyiddin perlu jelaskan ke mana RM600 bilion dibelanjakan ketika berkempen

2 min read

Dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin elok jelaskan ke mana perginya wang lebih RM600 bilion dibelanjakan ketika negara dalam belenggu penyakit COVID-19 seperti yang diumumkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

Pada masa itu juga, perbelanjaan sebesar itu dikeluarkan ketika negara di bawah proklamasi darurat dan Parlimen digantung.

Menurut satu kenyataan dari seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO Razlan Rafii rakyat mula mempersoalkan tujuan kerajaan membuat proklamasi darurat dan kemudian berbelanja besar tanpa ada penjelasan sewajarnya.

Katanya, penjelasan Muhyiddin berkenaan pengambilan hospital swasta serta langkah lain untuk membendung COVID-19 dilihat tidak logik dan tidak masuk akal.

“Rakyat makin nampak jelas alasan ini tidak logik kerana kemudahan hospital, tentera dan lain-lain sudah boleh digunakan tanpa isytihar darurat.

“Rakyat faham bahawa Darurat Perikatan Nasional (PN) dilakukan hanya kerana mahukan kerajaan ini kekal berkuasa tanpa berhadapan dengan pihak pembangkang di Parlimen.

“Mendaulatkan undang-undang adalah kepercayaan dan keyakinan bahawa Perlembagaan negara mesti di patuhi dan ditaati. Apabila darurat dilaksanakan, Perlembagaan secara langsung telah digantung, kerajaan tidak yakin dengan apa yang tertulis didalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 April tahun lepas.

Lebih elok, daripada Muhyiddin umum akan beri cuti jika PN menang pada 19 November nanti tapi beliau jelaskan dan bentangkan ke mana RM600 bilion berkenaan dibelanjakan.

Jika dilihat, jumlah itu jauh melebihi peruntukan belanjawan setiap tahun tetapi Muhyiddin membelanjakan jumlah itu dalam masa setahun sahaja.

Kesan daripada itu, COVID-19 tidak juga surut malahan berlarutan lebih kurang selama lebih dua tahun.

Muhyiddin sendiri mengakui kerajaan sudah tidak banyak wang kesan daripada perbelanjaan berkenaan melibatkan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik.

Daripada jumlah besar itu, RM340 bilion dibelanjakan untuk pakej rangsangan dan RM322 bilion untuk belanjawan negara.

Dua hari lepas, PN menawarkan pengisytiharan cuti umum kalau mereka menang PRU15 dalam kempen mereka.

Muhyiddin berkata cuti umum itu adalah pada 20 November bagi Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor dan 21 November bagi negeri-negeri lain.

Oleh itu, selepas ini elok Muhyiddin beri penjelasan ke mana perginya wang berkenaan kerana rakyat amat ingin mendengarnya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *