January 30, 2023

Anak derita ekzema berdarah buat ibu rasa gagal, ini panduan daripada pakar untuk ibu-ibu

3 min read

Baru-baru ini, seorang pengguna facebook, annis suraya berkongsi tentang derita anaknya yang menghidap ekzema dan alergi pada kulit.

Masalah yang dihadapi kanak-kanak itu sangat meruntun perasaan. Mana tidaknya, kulitnya sampai berdarah akibat penyakit yang ditanggungnya itu.

Menurut anis suraya, beliau telah mencuba bermacam-macam krim dan petua untuk mengurangkan luka tersebut, namun hasilnya sangat tidak memuaskan.

Lebih menakutkan, kondisi anak beliau menjadi semakin teruk.

“Disebabkan sudah buntu, akhirnya saya bawa anak berjumpa pakar. Anak pula hari-hari menangis dan menggaru kulit sehingga berdarah.

“Keadaan anak membuatkan saya berasa gagal menjadi ibu yang terbaik, namun saya tetap berusaha dan tawakal mencari penawar,” tulisnya.

Benarlah, ibu mana yang sanggup melihat anak yang dikandung sembilan bulan itu mengalami masalah kesihatan.

Kalau diberi pilihan, kesengsaraan itu mahu ditukar ganti.

Dari sudut perubatan, National Eczema Association berkata, ekzema merupakan keadaan keradangan pada kulit yang menyebabkan seseorang mengalami kegatalan, kulit kering, mengelupas dan jangkitan.

Laman perubatan itu menjelaskan ekzema terbahagi kepada tujuh jenis iaitu:

i) Dermatitis atopik: Ia menyebabkan keradangan, kekeringan dan kulit gatal. Paling banyak berlaku dalam kalangan pesakit.

ii) Dermatitis sentuh: Turut dikenali sebagai dermatitis alahan kepada sentuhan dan terjadi disebabkan oleh persekitaran.

iii) Dermatitis seborrheic: Ia sejenis ekzema yang menjejaskan pada kulit kepala.

iv) Dermatitis stasis: Berlakunya perubahan warna kulit pada kaki yang terlihat persis seperti vena varikos (salur darah timbul dan terpintal).

v) Neurodermatitis: Ekzema tersebut menjejaskan tompok kecil kulit dan menyebabkan pesakit rasa gatal dan permukaan kulit bersisik.

vi) Ekzema dyshidrotic: Ia mengeringkan kulit dan menyebabkan rasa terbakar, ruam dan lepuh.

vii) Ekzema nummular: Mengakibatkan kulit menjadi putih pucat berbentuk bulat di seluruh badan terutamanya pada lengan dan kaki.

Bagaimanapun National Eczema Association memaklumkan bahawa ekzema bukanlah sejenis penyakit kulit yang boleh menjangkiti orang lain.

Jadi, anda tidak perlu risau untuk melakukan aktiviti bersama pesakit dan tiada masalah pun jika bersentuhan dengan mereka.

Dalam pada itu, Healthline dalam penulisannya berkata, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera jika gejala ekzema seperti kegatalan, kemerahan, hiperpigmentasi, kekeringan dan kulit berkerak tidak beransur pulih sehingga mengganggu aktiviti seharian terjadi.

Untuk memahami kondisi seseorang pesakit ekzema bukanlah mudah.

Biasanya, pesakit diminta menyatakan beberapa perkara yang dirasai. Antaranya seperti:

i) Nyatakan makanan dan minuman yang diambil.
ii) Produk kulit, bahan kimia, sabun, alat solek dan detergen yang digunakan.
iii) Menyenaraikan aktiviti yang dilakukan sepanjang hari sama ada berada dalam hutan atau berenang.
iv) Mencatat suhu air dan waktu sewaktu mandi.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan keterukan gejala ekzema, laman perubatan itu ada menyenaraikan beberapa tip yang boleh dilakukan. Berikut inti patinya:

i) Letak pek penyejuk pada kulit untuk melegakan gatal.
ii) Mandi dengan mandian oatmeal koloid atau serbuk penaik agar mengurangkan simptom kegatalan.
iii) Sapu krim pada kulit setiap kali keluar daripada bilik mandi supaya dapat memerangkap kelembapan.
iv) Selepas mandi, tepuk kulit dengan perlahan dengan tuala lembut dan elakkan menggosok kulit dengan kasar.
v) Elakkan menggaru kerana ia boleh menyebabkan jangkitan.
vi) Gunakan detergen bebas pewangi.
vii) Pakai sarung tangan sewaktu anda mengendalikan bahan kimia.
viii) Pakai pakaian longgar yang diperbuat daripada material lembut seperti kapas.

Buat mereka yang menghidapi masalah ekzema, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jenis ubat di pasaran.

Kandungan yang ada dalam sesuatu produk berkemungkinan sesuai untuk orang lain, tetapi mungkin tidak bagi anda.

Justeru, penting untuk kalian menyediakan diari mini untuk dibawa bersama ketika mendapatkan konsultasi doktor agar mereka dapat mengesan apakah perkara yang mencetuskan ekzema anda.

© Sinar Plus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *