November 27, 2022

Kerajaan minoriti bakal dibentuk jika tiada penyelesaian kukuh

2 min read

Seorang Perdana Menteri (PM) perlu dilantik bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata ia berikutan kerajaan sementara bukan sebuah kerajaan sebenar yang berfungsi hanya untuk jangka masa pilihan raya dijalankan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Mahu tak mahu beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong masih perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU15.

“Jika kita ikut amalan negara Komanwel, baginda akan lantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi.

“Kalau ikut itu tradisinya, ia akan pergi ke Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti yang tertinggi dan mewujudkan kerajaan minoriti,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya.

Katanya, Perdana Menteri baharu itu juga mempunyai pilihan untuk memasuki Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), seperti yang berlaku pada awal pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Azizuddin berkata, tanpa penubuhan sebuah kerajaan baharu, Bajet 2023 juga tidak dapat dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

“Jika hari ini Tuanku nampak tidak ada majoriti juga, mahu tidak mahu baginda perlu mengikut amalan biasa dalam negara Komanwel dengan melantik Perdana Menteri yang mendapat majoriti yang terbesar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen dengan anggapan individu itu boleh mendapat sokongan yang banyak tanpa bukti kerusi parti yang dimenangi pada PRU15.

Katanya, penggunaan surat sumpah berkanun (SD) juga boleh bertindan (duplicate), selain ia walaupun diterima pakai tetapi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Azizuddin berkata, bukti paling utama dalam pilihan raya umum datangnya daripada rakyat melalui peti undi.

“Rakyat dah memilih parti dan parti itu yang akan menamakan calon Perdana Menteri.

“Itu sebabnya menamakan calon Perdana Menteri adalah sangat penting kerana rakyat akan mengundi atas dasar itu,” katanya.

Pada masa sama, Azizuddin berkata, undi popular juga boleh digunakan dalam pemilihan Perdana Menteri, seperti dalam demokrasi lain di dunia.

Katanya, walaupun ia bukan amalan biasa dalam kalangan negara Komanwel, namun penggunaan undi popular boleh diambil kira untuk memilih calon Perdana Menteri dan konteks ini, ia masih lagi PH.

Selain itu, beliau menolak cadangan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik pemimpin daripada parti komponen yang paling banyak meraih undi dalam mana-mana gabungan parti yang memasuki PRU15 secara bersama, termasuk yang bertanding menggunakan logo sendiri seperti DAP dan PAS.

Beliau berkata, ia berikutan watikah pencalonan ditandatangani presiden gabungan.

Pada PRU15 Sabtu lalu, PH meraih sebanyak 82 kerusi termasuk di kawasan ditandingi DAP dan MUDA atas logo sendiri.

PN muncul dengan jumlah kerusi Parlimen kedua tertinggi iaitu 73 termasuk kerusi dimenangi calon yang bertanding menggunakan logo PAS.

Berikutan tiada mana-mana parti politik berjaya meraih undi minimum 112 untuk mendapat majoriti mudah, kini PH dan Perikatan Nasional (PN) sedang sedaya upaya mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.