November 27, 2022

PPMM menggesa negara melaksanakan penstrukturan semula

2 min read

Selepas beberapa hari kemelut pembentukan kerajaan berlarutan, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) tampil menggesa negara melaksanakan penstrukturan semula dan meminimumkan peranan ahli politik.

Agenda itu antara lain bagi membolehkan keutamaan diberikan kepada teknokrat, agamawan, pentadbir dan masyarakat awam membina negara, manakala peranan politik hanya tertumpu kepada penggubalan undang-undang.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata menerusi agenda itu, kebajikan dan pendekatan bagi kesejahteraan rakyat akan diutamakan, mengatasi matlamat mengekalkan kuasa dalam kalangan ahli politik.

Beliau yang pernah mengemukakan idea sama sebelum ini, mengakui ia tercetus akibat kebimbangan ekoran polemik dihadapi negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hingga pasca PRU15.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap keadaan dalam negara semakin memuncak, khususnya apabila keselamatan, kesihatan dan ekonomi di tahap yang meruncing.

“Dari sudut undang-undang, ia boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran tepat mengenainya.

“Negara memerlukan perubahan pelaksanaan sistem pentadbiran. Kita akur Yang di-Pertuan Agong adalah eksekutif sebenar bagi Persekutuan dan jemaah menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikat ini perlu dipertegas dan diberikan makna yang sebenar. Kita perlu tahu membezakan cahaya dari kegelapan. Terbukti sudah dua kali PRU tetapi kemelut politik kuasa dan kepimpinan masih meruncing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Negara ketika ini berdepan kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10 selepas tiada mana-mana parti politik berjaya meraih majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dengan keadaan itu sudah berlarutan sejak Ahad lalu.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi, masing-masing 82 dan 73 kerusi, namun tidak cukup majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) yang menang 30 kerusi bagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata orang ramai sudah muak dengan mainan politik kerana kesejahteraan rakyat dan negara tidak diberi keutamaan, selain mempersoal bilakah kemelut berkenaan akan menemui penamat.

Beliau berkata, kerajaan yang akan terbentuk tidak kukuh walaupun berlaku perubahan, selain memberi bayangan krisis politik tetap akan berulang pada masa hadapan, jika PRU dilaksanakan.

“Isyarat jelas diberikan rakyat pada PRU14 dan PRU15 masih tidak difahami oleh sebahagian besar ahli politik. Justeru, anjakan paradigma perlu dilakukan.

“Mereka (ahli politik) perlu sedar, memiliki kuasa bukanlah suatu tasyrifan (kemuliaan), sebaliknya ia adalah taklifan (tanggungjawab) kepada negara. Jika hakikat ini diinsafi negara akan terselamat daripada bahaya,” katanya.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.