Tan Sri Muhyiddin tidak hadir ke St Regis
1 min read
Pertemuan pemimpin-pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Hotel St Regis di sini, tidak dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan, Muhyiddin mewakilkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan setakat ini, tiada kenderaan membawa Presiden BERSATU itu keluar dari kediamannya di Bukit Damansara.
Muhyiddin yang mengetuai PN menang 73 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) Sabtu lalu, kini bersaing dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri Ke-10.
PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15. PH memperoleh 82 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, kemelut pembentukan kerajaan baharu sekali gus pelantikan Perdana Menteri masih gagal diselesaikan selepas blok parti politik selain PN dan PH, khususnya BN dilihat masih tidak menetapkan pendirian siapa mahu disokong.
© Berita Harian