November 27, 2022

Kerana cemburu, wanita bakar rumah teman lelaki

1 min read

Gara-gara cemburu wanita lain menjawab panggilan telefon teman lelaki, seorang gadis bertindak membakar rumah mangsa sebelum memaparkan kejadian itu menerusi aplikasi panggilan video, FaceTime, lapor akhbar Daily Star semalam.

Senaida Marie Soto, 23, membakar rumah kekasihnya kerana percaya dia dicurangi.

Senaida dituduh memecah masuk rumah mangsa di San Antonio, negeri Texas dan membakar sofa sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan), Ahad lalu.

“Dia sebelum itu membuat panggilan video FaceTime kepada teman lelakinya yang kemudian dijawab oleh wanita lain. Pada hal, wanita itu sebenarnya saudara mangsa.

“Gadis itu kemudian pergi ke rumah mangsa dan membakar sofa di ruang tamu.

“Dia merakam video menunjukkan kebakaran pada sofa yang telah merebak, mengakibatkan rumah itu terbakar. Nilai kerugian lebih AS$75,000 (RM338,366),” kata Pejabat Syerif Daerah Bexar.

Suspek didakwa menyebabkan kebakaran sebelum membuat panggilan FaceTime sekali lagi kepada mangsa untuk menunjukkan apa yang telah dilakukannya, demikian menurut afidavit mahkamah.

Dalam panggilan telefon sama , dia turut didengari berkata: “Saya harap barang-barang milik awak akan selamat.”

Gadis berusia 23 tahun itu turut didakwa menghantar pesanan ringkas kepada mangsa yang berbunyi: “Saya harap rumah awak dalam keadaan baik”, sebelum memandu pergi dari kediaman itu.

Dia turut mengambil beberapa barangan dari rumah mangsa dan memasukkan ke dalam kenderaannya sebelum membakar rumah itu, demikian menurut keterangan saksi.

Senaida ditahan Isnin lalu dan didakwa atas pertuduhan mencuri dan membakar kediaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.