November 27, 2022

Pemimpin UMNO seluruh negara menyatakan solidariti menyokong Presiden

2 min read

Pemimpin UMNO negeri terutama Ketua UMNO bahagian seluruh negara, hari ini menyatakan solidariti menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seramai 90 orang daripada 130 Ketua UMNO bahagian hadir mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Mewakili mereka, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah, berkata 130 ketua bahagian, termasuk pengerusi perhubungan negeri berikrar menyokong Presiden bagi meneruskan perjuangan dan memastikan parti terus relevan.

“Presiden minta kita untuk terus bersama memperkukuh parti. Mana-mana ketua bahagian yang masih rasa bimbang, syak wasangka, masih fikir macam-macam silalah kembali untuk kita bersatu.

“Yang mana sudah ‘kona baring’ (desak Zahid letak jawatan) baliklah semula, tunjuk solidariti kepada Presiden. Kita berlapang dada supaya UMNO kembali padu bersatu.

“Kita hanya menang 30 kerusi, kalau tidak bersatu maka malanglah kita di masa depan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Antara yang hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Selain itu, Mohd Shafie, berkata semua Ketua UMNO Bahagian turut menyatakan kekesalan atas kebiadaban pemimpin parti komponen MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) atas desakan supaya Presiden meletakkan jawatan.

“Kita bawa dan kendong mereka berpuluh tahun, kerusi dimenangi mereka pun banyak majoriti Melayu, tapi bila kita dalam keadaan genting ini, mereka pula berpaling tadah,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti, termasuk komponen BN mendesak supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatan Pengerusi BN dan Presiden UMNO sebagai tanda mengambil tanggungjawab atas kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Semalam, kepemimpinan tiga parti komponen BN turut mengemukakan ketetapan undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid.

Usul berkenaan dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup, menerusi sepucuk surat bertarikh hari sama.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.