January 30, 2023

PDRM buka kertas siasatan terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang

1 min read

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata Anwar meminta polis membuat siasatan terhadap fitnah terhadap dirinya itu.

Pada masa sama, Fahmi berkata PKR juga akan mengambil tindakan undang-undang.

Anwar, yang juga Presiden PKR, mula diserang dengan dakwaan yang dikaitkan dengan Israel di media sosial sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Isu itu juga mula timbul apabila Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mempersoalkan pendirian Anwar berhubung penahanan beberapa individu, termasuk rakyat tempatan yang disyaki terbabit dengan ejen perisikan Israel, Mossad sebelum ini.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *