January 30, 2023

Peniaga maut kenderaan dipandu hilang kawalan terjatuh ke sungai

1 min read

Seorang peniaga maut selepas pikap dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh ke sungai di Jambatan Bukit Perpat, Wakaf Tapai di Marang hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa Zaiton Omar, 64, yang tinggal di Kampung Lubuk Pandan, Wakaf Tapai di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan untuk ke kedainya di Kampung Gong Beris di sini selepas mengambil bekalan pisang di rumah anak angkatnya di Kampung Bukit Perpat.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu terjatuh ke sungai.

Anak angkat mangsa, Wan Rafiuddin Wan Mohd, 33, berkata dia menerima panggilan daripada penduduk kampung pada jam 11.05 pagi menggunakan telefon milik ibu angkatnya.

Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, ibu angkatnya sudah dibawa keluar daripada kenderaannya.

“Memang terkejut dan rasa tak percaya sebab sebelum itu arwah ke rumah saya untuk mengambil bekalan pisang.

“Arwah beredar dari rumah saya kira-kira jam 10.40 pagi dan tak lama selepas itu dapat panggilan telefon memaklumkan kejadian ini.

“Sebelum dapat panggilan telefon ini, ada penduduk kampung berkongsi gambar kejadian di ‘Group WhatsApp tetapi ketika itu, saya tak tahu itu ibu angkat saya kerana tidak nampak nombor pendaftaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendam Mohd Zain Mat Dris, berkata mangsa yang tidak sedarkan diri dikeluarkan daripada kenderaan oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *