January 30, 2023

Kira-kira 2,500 ekor anjing laut hampir pupus ditemui mati di pantai Laut Kaspia

1 min read

Dianggarkan sebanyak 2,500 anjing laut yang hampir pupus ditemui mati di pantai Laut Kaspia di selatan Rusia, Sabtu lepas.

Pihak berkuasa di wilayah Dagestan Rusia melaporkan bahawa punca kematian masih tidak jelas ketika ini.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa menyifatkan bahawa kemungkinan besar kejadian itu disebabkan fenomena alam semula jadi.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Rusia melaporkan sebanyak 700 anjing laut ditemui mati di luar pantai sebelum jumlah itu kemudian meningkat kepada 2,500 ekor.

Dalam satu kenyataan, ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Caspian (CEIC), Zaur Gapizov berkata, anjing-anjing laut itu mungkin sudah mati sejak beberapa minggu lalu dan tiada tanda ia dibunuh atau terjerat dalam pukat.

Pakar dan pendakwa raya dari Agensi Perikanan Persekutuan telah memeriksa pantai itu dan mengumpulkan data untuk penyelidikan dalam makmal kerana bahan pencemaran tidak segera dikesan.

Kematian besar-besaran membabitkan anjing laut yang disebabkan oleh alam semula jadi tidak pernah diketahui sebelum ini.

Kazakhstan yang mempunyai pantai Caspian yang panjang, melaporkan berlaku sekurang-kurangnya tiga kejadian serupa tahun ini.

Menurut CEIC, bilangan anjing laut di rantau Caspian dianggarkan kira-kira 70,000 hingga 300,000 ekor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *