Padang Serai milik Perikatan Nasional
2 min readPerikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.
Calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.
Pertembungan enam penjuru di kerusi berkenaan turut membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraajh, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamzah Abd Rahman; calon Parti Warisan (WARISAN), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, iaitu Sreanandha Rao.
Azman memperoleh 51,677 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.
Tiga lagi calon, Hamzah memperoleh 424 undi, Mohd Bakhri pula mendapat 149 undi, manakala Sreanandha dengan 846 undi.
Azman adalah bekas guru dan mesra dipanggil Cikgu Man, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas selama dua penggal sejak memenanginya pada PRU13 dan mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR.
Dalam peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan pusat bertukar daripada PH kepada PN, beliau turut meninggalkan PH dan membentuk kerajaan negeri PN bersama-sama ADUN PAS, UMNO dan BERSATU ketika itu.
Beliau juga kini Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah.
PRU15 di Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding, iaitu M Karupaiya, 69, penyandang kerusi daripada PH, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Parlimen Padang Serai yang sebelumnya dinamakan Kulim Utara sehingga PRU 1974, mula dimenangi PKR pada PRU 2008 melalui N Gobalakrishnan yang menyandang kerusi itu selama dua penggal.
Penguasaan PKR kemudian teruskan oleh N Surendran pada PRU 2015 dan seterusnya oleh mendiang Karupaiya pada PRU 2018.
© Berita Harian