Pemandu lori patah tangan kiri dan kedua-dua kaki, lori rempuh plaza tol
1 min read
Seorang pemandu lori patah tangan kiri dan kedua-dua kaki apabila lori yang dipandu mengalami masalah brek sebelum merempuh Plaza Tol Ayer Hitam, Puchong, dekat Putrajaya, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya, berkata sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.53 petang.
Katanya, setiba di tempat kejadian pada jam 3.04 petang, pihaknya mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun.
“Lori yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi brek telah merempuh plaza tol dan menyebabkan pemandu tersepit di bahagian tempat duduk.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan lanjut,” katanya.
© Berita Harian