January 30, 2023

Tioman kekal milik Barisan Nasional

2 min read

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk penggal keempat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, mengumumkan kira-kira jam 9.20 malam tadi mengenai kemenangan Johari yang mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru berkenaan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.

Kemenangan dengan majoriti tipis 573 undi itu menyaksikan BN kini menguasai jumlah kerusi DUN yang sama dengan PN, iaitu 17, manakala Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi dimenanginya pada PRU15, 19 November lalu.

Pasca PRU15 lalu, tiada parti atau blok parti berjaya mendapat majoriti mudah untuk menguasai DUN Pahang dengan BN ketika itu menang 16 kerusi, kurang satu kerusi berbanding PN.

Berikutan itu, Pemangku Raja Pahang yang juga Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi perkenan kepada pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan BN dan PH.

Ia juga menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN mengekalkan jawatan berkenaan.

Pada PRU siang tadi, calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang menarik diri untuk memberi laluan kepada calon BN, mendapat 784 undi.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Osman A Bakar pula memperoleh 79 undi, manakala calon Bebas, Sulaiman Bakar sekadar meraih 58 undi. Undi rosak pula sebanyak 91 undi dengan peratusan keluar mengundi 58.39 peratus.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.

Calon asal PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *