January 30, 2023

Anwar hantar notis tuntutan terhadap Ahmad Amzad berkaitan fitnah

2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan notis tuntutan terhadap Datuk Ahmad Amzad Hashim supaya Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu memohon maaf tanpa syarat kerana didakwa memfitnah beliau berhubung penerimaan gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor dalam satu rakaman video.

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menuntut Ahmad Amzad meminta maaf kerana mempertikai pengampunan yang diperoleh bagi sabitan kes beliau.

Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan SN Nair & Partners, yang mewakili Anwar, 75, kepada Ahmad Amzad, hari ini.

Peguam Datuk SN Nair ketika dihubungi mengesahkan telah menghantar notis itu kepada Ahmad Amzad melalui pos.

Nair berkata, anak guamnya menuntut agar video mengenai beliau di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 dan perkataan memfitnah ditarik balik selain memadam atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan serta bersifat fitnah.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tambun itu juga menuntut aku janji bertulis daripada Ahmad Amzad untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam video berkenaan, selain ganti rugi.

“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Ahmad Amzad,” katanya.

Notis tuntutan itu mendakwa pada 7 Disember lalu, Ahmad Amzad mengungkap atau menyebabkan penerbitan video berkenaan yang telah mendapat tontonan lebih 2,928 kali, melebihi 45 komen, lebih 87 butang ‘like,’ melebihi 10 kali butang ‘favourite’ dan 21 kali perkongsian setakat tarikh notis berkenaan.

Nair mendakwa video dan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Anwar seorang pembohong, cenderung kepada perlakuan songsang dan telah mengguna pakai cara tidak sah untuk dibebas serta dilepaskan daripada sabitan jenayah.

Peguam itu berkata, Anwar menegaskan video dan kata-kata fitnah itu adalah tidak benar serta dibuat untuk merendahkan maruah beliau selain telah dirancang untuk memburukkan reputasinya.

“YB Ahmad Amzad juga telah mengaibkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan telah mencabar proses dan keputusan pengampunan penuh oleh YDPA dalam membebaskan, melepaskan dan membersihkan kesemua rekod jenayah dan sabitan lampau anak guam kami,” katanya.

© Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *