January 30, 2023

Banjir kilat, 12 sekeluarga terkandas

1 min read

Seramai 12 orang daripada satu keluarga termasuk dua orang kurang upaya (OKU) yang terperangkap akibat banjir kilat di Kampung Mayor, dekat Pantai, di Seremban, berjaya dipindahkan.

Hujan lebat kira-kira jam 3.30 petang turut menyebabkan 45 penuntut di sebuah kolej kemahiran di Kilometer 9, Jalan Pantai turut terperangkap sebelum diselamatkan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohammad Idris, berkata air naik sehingga 0.6 meter dan masuk ke dalam beberapa rumah di Kampung Baru dan Kampung Mayor.

“Kami menerima maklumat mengenai kejadian banjir ini jam 3.49 sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampangan serta Seremban bergegas untuk memantau keadaan.

“Terdapat beberapa rumah yang dinaiki air. Namun, hanya satu keluarga yang terdiri daripada 12 individu termasuk dua OKU mahu dipindahkan memandangkan hujan sudah berhenti dan keadaan air ketika itu dilihat mulai surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua yang dipindahkan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jalan Pantai.

Dalam kejadian sama, Mohammad berkata, seramai 45 penuntut lelaki di sebuah kolej kemahiran terkandas selepas air naik mencecah 0.6 meter di premis berkenaan.

“Kami turut mendapat bantuan daripada BBP Senawang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai. Penuntut ini dipindahkan menggunakan lori ke tempat selamat.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan semua berjaya dipindahkan. Beberapa agensi lain turut berada di lokasi terbabit bagi memantau keadaan,” katanya.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *