January 30, 2023

Rata-rata rakyat Korea Selatan tidak mahu berkahwin

1 min read

Peratusan rakyat Korea Selatan yang hidup sendirian pada tahun 2050 dijangka meningkat lebih dua kali ganda berbanding permulaan milenium, kata pejabat perangkaan seperti dilaporkan oleh akhbar Hindustan Times semalam.

Anggaran itu sekali gus mencerminkan perubahan dalam komposisi isi rumah di Korea Selatan ketika negara berkenaan bakal mempunyai kadar kesuburan paling rendah di dunia.

Penduduk yang tinggal secara sendirian adalah terdiri daripada kira-kira 7.2 juta atau mewakili satu pertiga daripada isi rumah pada tahun 2021 di Korea Selatan.

Menurut statistik negara berkenaan, nisbah itu yang berada pada kadar 15.5 peratus pada tahun 2000 mungkin meningkat kepada hampir 40 peratus menjelang pertengahan abad ini.

Secara amnya, Korea Selatan kini mempunyai bilangan yang hampir sama dalam isi rumah orang perseorangan dengan United Kingdom (UK) walaupun ia masih jauh jika dibandingkan dengan Jepun atau Jerman.

Kekurangan wang dan jaminan pekerjaan membentuk hampir separuh daripada alasan yang diberikan oleh golongan bujang untuk tidak berkahwin, manakala 12 peratus lagi responden menyatakan, mereka berasa terbeban kerana terpaksa membesarkan anak.

Kira-kira 25 peratus lagi menyatakan bahawa mereka tidak menemui calon yang sesuai atau tidak merasakan perlu untuk mendirikan rumah tangga di negara berkenaan.

Peningkatan bilangan isi rumah perseorangan itu juga dijangka memberi tekanan lanjut terhadap demografi penuaan di Korea Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *