January 30, 2023

Ahli perniagaan gesa kerajaan perkenalkan cukai ke atas pekerja asing

2 min read

Ahli Perniagaan Datuk Seri Kamarudin Kumaravel Abdullah ketika ditemui Sepatahdua.my di Shah Alam baru-baru ini. Foto Sepatah Dua Media.

Seorang ahli perniagaan menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan potongan cukai kepada pekerja asing yang bekerja di negara ini dan menggunakan dana itu untuk beri pendidikan percuma kepada golongan B40.

Datuk Seri Kamarudin Kumaravel Abdullah berkata ketika ini, dalam Malaysia terdapat lebih 10 juta orang pekerja asing dari pelbagai negara bekerja dan menerima gaji dalam mata wang Ringgit Malaysia serta menghantar wang berkenaan pulang ke negara asal.

Menurut beliau, ada di antara mereka yang mendapat gaji melebihi RM2,000 sebulan bekerja di pelbagai sektor dalam negara.

“Para pekera asing ini menerima gaji Malaysia (Ringgit) sebanyak RM2,000; 2,500 dan ada yang 3,000 pun ada. Saya hendak minta Perdana Menteri kaji balik dan bawa ke kabinet untuk luluskan yang memerlukan pekerja asing ini potong minimum RM50 sebagai cukai untuk kerajaan.

“Dengan duit berkenaan dari kira-kira 10 juta orang akan dapat dalam lingkungan RM5 bilion sebulan dan ia boleh digunakan untuk beri pendidikan percuma kepada golongan B40 daripada darjah 1 hingga ke peringkat universiti,” katanya ketika ditemui Sepatahdua.my baru-baru ini.

Kamarudin berharap, Anwar akan mempertimbangkan perkara ini kerana pekerja di Malaysia membayar cukai pendapatan, jadi mereka juga boleh membayar cukai kepada kerajaan kerana bekerja di negara ini.

“Kita tidak minta banyak dari mereka, hanya minima RM50 sebagai cukai yang akan digunabalik kepada rakyat,” katanya.

Kamarudin sebelum ini pernah bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bagi kerusi Parlimen P132 Telok Kemang melawan dua lagi calon dari parti PKR dan calon Barisan Nasional (BN).

Pada 2019, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor.

Baru-baru ini tular satu video seorang pekerja asing yang hanya makan timun sebagai makan tengah hari tetapi menerima gaji RM5,500 tetapi menghantar wang Ringgit Malaysia ke luar negara sebanyak RM5,200.

Jika mereka tidak menggunakan wang berkenaan, lebih elok kerajaan turut mengenakan cukai ke atas mereka. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *