Rakyat harap PM Anwar berjaya atasi isu beban sara hidup
2 min read
Sudah genap sebulan sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 24 November lepas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November.
Di media sosial, tampak Anwar diterima baik oleh rakyat dan netizen tetapi di dunia realiti harapan rakyat Malaysia begitu tinggi kepada Anwar memandangkan beliau adalah seorang pemimpin pembangkang yang paling lantang menyatakan berkaitan langkah perubahan akan dilakukan untuk Malaysia.
Bagi rakyat, beban kos sara hidup menjadi perkara utama dan paling berat ditanggung pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia.
Dua isu yang sekarang amat ditunggu-tunggu oleh pengguna ialah berkaitan harga runcit dan bekalan telur serta harga minyak petrol jenis RON95 yang diharapkan dapat dikawal dan diturunkan oleh kerajaan.
Kini ada pula khabar bahawa peniaga akan menaikkan harga telur untuk memastikan harga barangan runcit berkenaan stabil dan masalah stok akan selesai. Sebelum ini, negara berdepan masalah kekurangan stok telur sehingga ada cadangan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu untuk mengimport telur untuk menyelesaikan masalah itu.
Jika diimport, ada kemungkinan harga menjadi lebih tinggi berbanding harga sedia ada sekarang.
Telur merupakan bahan makanan yang banyak digunakan oleh isi rumah, perniagaan serta industri makanan di negara ini dan ia adalah bahan makanan yang amat penting.
Rakyat pasti berharap masalah harga dan stok telur akan berjaya diselesaikan dengan pendekatan yang unik dan bijak oleh Anwar kerana dalam kempen pilihan raya beliau, Anwar amat mementingkan kebajikan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup.
Satu lagi, ialah rakyat amat mahu harga runcit petrol RON95 diturunkan ke paras bawah RM2 juga seperti yang diulang-ulang oleh Anwar sejak PRU-14 lagi.
Setakat ini, apa yang didengari hanya mesyuarat dan keputusan untuk mewujudkan satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan dan masih belum ada langkah penyelesaian untuk mengatasinya.
Ada juga di sana sini sudah kedengaran bahawa Anwar gagal dalam menyelesaikan kedua-dua masalah berkenaan walaupun dalam kempen beliau mengatakan bahawa beliau sudah ada cara bagaimana untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Rakyat memberi masa dan peluang kepada barisan Kabinet Anwar untuk menyelesaikan masalah berkaitan beban kos sara hidup kerana jika berjaya dikawal, ia akan menyelesaikan masalah inflasi dalam negara dan rakyat akan dapat berbelanja dengan lebih baik. – SEPATAH DUA