Malaysia bakal ada khidmat teksi udara tidak lama lagi?
2 min read
Sejenis dron model Chang 216 yang dikatakan akan menjadi perintis teksi udara di Malaysia mungkin tidak lama lagi.
Tidak lama lagi, mungkin bandar-bandar besar di Malaysia akan dapat merasa pengalaman perkhidmatan pengangkutan cara baharu iaitu menggunakan “teksi udara” dengan dron untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sekarang di bandar besar, cara pengangkutan yang biasa ialah melalui darat iaitu menggunakan kenderaaan seperti kereta, bas atau keretapi.
Sebuah syarikat yang menyediakan khidmat sewaan penerbangan helikopter dan pesawat terbang, Mihara Aviation sedang melengkapkan pelbagai persiapan untuk menuju ke arah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Mihara Aviation, Aishah Radhiah Adanan berkata perkhidmatan pengangkutan berkenaan adalan perancangan masa depan syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan seperti itu.
“Kita sedang merancang untuk memulakan perkhidmatan ‘air taxi’ yang pertama di Malaysia.
“Kita sedang menunggu beberapa kelulusan dan doakan kami (Mihara) boleh lancarkan perkhidmatan ini secepat yang mungkin,” katanya ketika bercakap dengan wartawan dalam satu sidang media di Mines Resort and Golf Club hari ini.

Dalam sidang media berkenaan, selain menyatakan tentang teksi udara, ia diadakan untuk mengajak pihak penggiat industri pelancongan untuk bekerjasama dengan pihak Mihara dalam perkhidmatan sewaan penerbangan helikopter.
Mihara menyediakan pelbagai pakej sewaan penerbangan helikopter dari orang perseorangan sehinggalah secara berkumpulan dengan pelbagai pilihan harga dan jarak penerbangan.
Bagi penerbangan paling murah, ia boleh disewa dengan kadar RM298 selama 6 minit melalui lokasi dengan pemandangan mercu tanda dan ikonik bandaraya Kuala Lumpur atau bergantung kepada lokasi penerbangan.
Aishah berkata, sewaan sebegitu hanya dibuka ketika ada acara tertentu dan ia akan dimaklumkan di laman web Mihara Aviation untuk tempahan.
Pada sidang media berkenaan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis turut hadir.
Beliau mengajak para penggiat industri pelancong untuk segera menyambar peluang berkenaan untuk bekerjasama dengan Mihara Aviation seterusnya boleh menawarkan satu pengalaman yang menarik dan luar biasa kepada pelancong yang menggunakan khidmat mereka.
Dalam ucapannya Uzaidi berkata penggunaan pengangkutan udara seperti helikopter boleh digunakan sebagai alternatif pengangkutan antara Alor Setar dan Pulau Langkawi kerana masalah perkhidmatan feri ke pulau berkenaan sering berdepan masalah akibat paras air laut.
“Kuala Perlis perkhidmatan ferinya tidak konsisten, adakah ini boleh menjadi satu alternatif untuk kita gunakan dari Alor Setar ke Langkawi.

“Kita faham dalam tempoh tiga tahun ini, banyak cabaran dan masalah seperti lumpur sehingga feri tidak boleh masuk dan berlabuh di Jeti Kuala Perlis dan hanya ada tiga empat kali sahaja perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis,” kata Uzaidi.
Selain helikopter, pihak Mihara juga menyediakan perkhidmatan sewaan penerbangan pesawat ringan dan penerbangan jet peribadi.
Anda boleh layari laman web www.miharaaviation.com untuk maklumat lebih terperinci berkaitan perkhidmatan yang disediakan. – SEPATAH DUA