44 ADUN Sabah berkumpul di kediaman rasmi Ketua Menteri
1 min readKesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menyokong pentadbiran bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, berkumpul di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu, petang ini.
Mereka adalah 29 ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) (tujuh), UMNO (lima) dan PAS, Parti Harapan Rakyat Sabah serta Bebas (masing-masing seorang).
Difahamkan, perjumpaan bersama Hajiji bermula jam 3.30 petang tadi itu adalah berkaitan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa depan.
Namun, pertemuan itu dipercayai turut membincangkan situasi politik semasa di Sabah ketika ini.
Ketika ditemui, ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia adalah perjumpaan biasa sebelum sesuatu persidangan DUN diadakan.
“Ia adalah perkara biasa untuk mengadakan perjumpaan sebelum persidangan DUN tetapi sudah tentu Ketua Menteri akan memberi penerangan mengenai perkembangan politik semasa.
“Kita ada 44 ADUN dan semua sudah tahu berkaitan perkara ini,” katanya.
© Berita Harian