Russia hantar kapal angkasa untuk misi menyelamat tiga angkasawan
2 min read
Russia semalam mengumumkan akan menghantar kapal angkasa tanpa kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan depan bagi membawa pulang tiga angkasawan, yang jentera mereka rosak akibat terlanggar meteor kecil.
Agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, membuat pengumuman itu selepas meneliti kelayakan penerbangan kapsul kru Soyuz MS-22 yang berlabuh di ISS dengan kebocoran cecair penyejuk pada radiator Disember lalu.
Dalam taklimat media, Roscosmos serta pegawai Pentadbir Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) berkata, kapal angkasa Soyuz tanpa kru, MS-23, akan dihantar ke ISS pada 20 Februari ini.
Kapal berkenaan depan akan membawa pulang angkasawan Russia, Dmitry Petelin dan Sergei Prokopyev serta angkasawan NASA, Frank Rubio kembali ke Bumi.
“Kami tidak memanggilnya sebagai penyelamat Soyuz tetapi menggelarnya sebagai pengganti Soyuz.
“Sekarang, kru selamat di atas stesen angkasa,” kata Joel Montalbano, pengurus program ISS di Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston.
MS-22 menerbangkan Petelin, Prokopyev dan Rubio ke ISS pada September lalu, berlepas dari Kosmodrom Baikonur yang dikendalikan Russia di Kazakhstan.
Mereka dijadualkan pulang dengan kapal angkasa yang sama pada Mac, tetapi penginapan mereka di ISS kini akan dilanjutkan beberapa bulan.
MS-22 mula membocorkan bahan penyejuk pada 14 Disember, sejurus sebelum angkasawan Russia itu memulakan pengembaraan angkasa lepas, dipercayai dihentam meteor kecil.
“Semuanya menunjuk kepada mikrometeoroid,” kata Montalbano yang menafikan hentaman itu akibat serpihan kapal angkasa atau masalah teknikal.
Pengarah eksekutif Program Penerbangan Angkasa Manusia di Roscosmos, Sergei Krikalev pula berkata, teori semasa ialah kerosakan itu disebabkan oleh zarah kecil dengan diameter hanya kira-kira satu milimeter.
MS-23 sebelum ini dijadualkan untuk menerbangkan angkasawan Russia, Oleg Kononenko dan Nikolai Chub serta Loral O’Hara dari NASA ke ISS pada 16 Mac.
Sementara itu, kata Krikalev, keputusan untuk menggunakan MS-23 menerbangkan kru semasa pulang adalah disebabkan kebimbangan terhadap potensi suhu tinggi dalam MS-22 yang rosak, ketika kemasukan semula ke atmosfera Bumi.
Bagaimanapun, beliau berkata jentera itu masih berpotensi digunakan sekiranya berlaku kecemasan.