Beregu campuran Malaysia tamatkan saingan
1 min readSatu lagi wakil negara pada saingan Terbuka Malaysia 2023 tersingkir di laman sendiri, kali ini beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas di tangan pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi suku akhir.
Beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi, gandingan Tang Jie-Ee Wei tercicir mata seawal set pertama berlangsung namun menunjukkan kebangkitan ketika juara dunia 2021 itu mendahului sehingga 13 mata.
Ee Wei menjadi nadi utama ketika cuba menyamakan kedudukan 14 sama sebelum Thailand menambah `gear kelajuan’ dan memuktamadkan kemenangan set pertama dengan 21-19 dalam tempoh 19 minit.
Bermula set kedua, Tang Jie-Ee Wei seakan hilang rentak dan kehilangan mata di tangan lawan sehingga pasangan ranking ketiga dunia itu mudah untuk menjinakkan pasangan negara yang baru digandingkan sejak dua bulan lalu.
Beregu negara itu tewas 21-9 pada set kedua dan ditunjuk jalan keluar dengan keputusan `straight set’ 19-21, 9-21 dalam tempoh 36 minit.
Esok, Puavaranukroh-Taerattanachai dijadual bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang sebelum ini mara ke separuh akhir selepas menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan, 21-17, 21-17.
Semalam, Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.
© Berita Harian