MAICCI gesa kerajaan hapuskan pembekuan sektor pengambilan pekerja asing yang dikenakan sejak 2013
2 min readPihak majikan di negara ini meminta kerajaan memberikan kelulusan dan memudahkan cara untuk pengambilan pekerja asing untuk sektor pekerjaan yang telah dibekukan kerajaan kira-kira 10 tahun yang lepas.
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Datuk N. Gobalakrishnan berkata langkah pembekuan pengambilan pekerja asing berkenaan sudah pun berlarutan lama sejak 2013.
Menurut beliau dasar berkenaan diperkenalkan telah menjejaskan majikan berbangsa India yang memerlukan kira-kira 50,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor perkerjaan.
“Ada sektor yang dibekukan di bawah tajuk perkhidmatan. Diharapkan bahawa sektor ini dipermudahkan, dilonggarkan dan diberi kelulusan,” katanya dalam sidang media di pejabat MAICCI semalam.
Katanya, kira-kira 10 tahun pihak majikan sudah pun memperjuangkan untuk mendapat kelulusan berkenaan daripada beberapa orang Perdana Menteri yang berubah-ubah kerana masalah politik tetapi isu berkenaan tidak juga berjaya diselesaikan.
Gobalakrishnan berkata Perdana Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun maklum dengan isu berkenaan dan pihak majikan di bawah MAICCI berharap bersama dengan barisan kabinet masalah berkaitan pembekuan pekerja asing ini boleh selesai.
“Kalau tidak dibenarkan, sedikit sebanyak ini memberikan peluang untuk pekerja asing yang tidak didaftar masuk dan membuat perniagaan dan kerajaan tidak dapat sebarang keuntungan dan ada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari segi membawa masuk pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata, pihak majikan di bawah MAICCI hanya memerlukan kira-kira 70,000 orang sahaja pekerja asing untuk sektor yang dibekukan cukup sekadar memenuhi keperluan untuk pemilik perniagaan dapat menjalankan operasi mereka.
Ada kerja yang pihak majikan amat sukar untuk mencari pekerja tempatan kerana pekerja yang juga rakyat negara ini sudah tidak berminat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Jawahari Ali Taib Khan berkata pekerja asing yang diperlukan oleh majikan dalam operasi adalah tidak ramai setakat mencukupi sahaja.
“Seperti kedai gunting, maksimum yang dipakai hanya dua orang sahaja, satu kedai runcit dapat dua pekerja asing pun dah memadai,” katanya.
Kerajaan pada 2013 mengambil keputusan untuk membekukan pengambilan pekerja asing untuk sektor perkhidmatan restoran, tukang emas, tekstil, pengedar surat khabar, gunting rambut, dan besi buruk yang dikenali sebagai perniagaan tradisi masyarakat India. – SEPATAH DUA