January 30, 2023

Bekalan domestik telur ayam tidak pulih, KPDN digesa menjelaskan jumlah sebenar eksport

2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa menjelaskan jumlah sebenar eksport telur ayam ke luar negara berikutan bekalan domestik bagi komoditi itu masih tidak pulih sehingga hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata penjelasan itu diperlukan berikutan musykil mengapa bekalan telur eksport tidak bermasalah tetapi bekalan domestik sering mengalami gangguan.

Katanya, KPDN juga perlu menjelaskan jumlah keseluruhan pengeluaran telur bagi lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan supaya penilaian dapat dibuat.

“Mengikut perangkaan ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), kadar pengeluaran telur negara pada 2021 adalah hampir 14 bilion biji dan ini jumlah yang besar.

“Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia sebanyak 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti yang diberitahu KPDN, jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.

“Maksudnya, pengeluaran 14 bilion biji dan penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, kementerian terbabit perlu telus dalam perkara ini dan menjelaskan faktor sebenar bekalan domestik tidak mencukupi.

“Jangan sembunyikan fakta dan jangan cuba lindungi sesiapa. Selain itu, perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) dan apakah benar jaminan Fuziah Salleh (Timbalan Menteri KPDN) bahawa dalam masa dua bulan lagi bekalan telur akan pulih.

“Adakah AP ini akan dihentikan pada April ini kerana kita tidak mahu ada pula kroni baharu mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful, yang juga Ketua Penerangan BERSATU, membuat teguran secara sinis terhadap Fuziah yang mengeluarkan kenyataan ‘Kita tidak boleh hendak paksa dia (ayam) bertelur’ pada satu program di Bentong, Pahang, yang ia disifatkan tidak kompeten.

“Berhentilah tunjuk tidak kompeten dengan idea seperti tidak boleh paksa ayam bertelur dan rakyat jangan makan ayam. Kamu sudah jadi kerajaan. Cuba buat kerja betul-betul,” katanya.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *