Halim Othman syukur dapat buat program Live di TikTok untuk orang ramai
1 min read
Bekas Penyampai Radio Era, Halim Othman.
Penyampai radio berpengalaman, Halim Othman meluahkan rasa amat bersyukur selepas dapat menerajui program secara langsung menggunakan platform TikTok miliknya sendiri.
Rancangan dinamakan TikTok Live Bersama HO itu sebetulnya pernah menjadi impian yang dianggap mustahil untuk direalisasikan satu ketika dahulu.
“Sewaktu menjadi penyampai radio Era, saya terfikir alangkah seronoknya kalau saya berpeluang mengendalikan sebuah rancangan sendiri yang boleh ditonton oleh semua rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.
“Namun hari ini, ia tidak lagi sesuatu yang mustahil dengan kewujudan TikTok. Saya gembira, bila pada akhirnya, saya berjaya memiliki rancangan sendiri, yang boleh ditonton secara langsung dan serentak oleh seluruh masyarakat, tidak kira di mana sahaja mereka berada,” katanya melahirkan kegembiraan.
Halim yang berusia 58 tahun menyifatkan rancangan tersebut sebagai pelengkap kepada kerjaya radionya yang sejak tiga dekad lalu, bagaikan sudah menjadi darah dagingnya.
“Tiga bulan sudah saya mengendalikan rancangan ini di TikTok dan buat masa ini ia masih di peringkat permulaan. Visi saya adalah untuk menjadikan ia lebih berjaya.
“Kalau rancangan ini menjadi, ia akan menjadi satu perkara yang cukup istimewa kepada saya,” jelasnya pengacara Roda Impian itu.
TikTok Live Bersama HO bersiaran setiap hari pukul 10 pagi dan 10 malam, di saluran halimothmanho2021.