January 30, 2023

Wabak mirip COVID-19 ragut nyawa sekurang-kurangnya 21 orang di Afghanistan

1 min read

Sekurang-kurangnya 21 orang meninggal dunia dipercayai akibat dijangkiti sejenis `penyakit misteri’ yang seakan-akan Covid-19 di Afghanistan.

Menurut berita yang dilaporkan oleh portal Daily Mail, kesemua kes itu direkodkan berlaku di kawasan pegunungan Wakhan di timur laut Afghanistan, yang bersempadan dengan Tajikistan dan Pakistan.

Pegawai kesihatan dihantar ke lokasi berkenaan untuk menyiasat jenis dan punca penyakit tersebut.

Setakat ini, butiran lanjut mengenai penyakit sebenar itu masih belum didedahkan.

Bagaimanapun, akhbar Afghanistan Times melaporkan pegawai kesihatan menggambarkan penyakit misteri itu `hampir serupa’ dengan jangkitan Covid-19.

Jelas laporan itu, kes kematian pertama akibat penyakit misteri itu dilaporkan dua minggu lalu.

Kyrgyzstan, yang tidak bersempadan dengan Afghanistan, mengambil langkah berjaga-jaga menghantar pasukan perubatan ke negara itu berikutan bimbang penularan pantas penyakit itu.

Baru-baru ini, Afghanistan dilanda wabak kolera dan polio.

Minggu lalu, agensi berita Bakhtar melaporkan sekurang-kurangnya 50 kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit pernafasan dalam tempoh sebulan di wilayah Baghlan, utara Afghanistan.

Berdasarkan laporan itu, pihak pengurusan Hospital Baghlan mengesahkan seramai 1,000 kanak-kanak dijangkiti penyakit pernafasan itu di wilayah tersebut sejak sebulan lalu.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada November tahun lalu mendedahkan bilangan kanak-kanak dirawat untuk pneumonia meningkat lebih 50 peratus pada 2022 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *