February 24, 2024

KJ ‘Laris’ Selepas Dibuang Dari UMNO

1 min read

PUTRAJAYA, 12 Mei — Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap semasa majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

MAKIN laku pula bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila menjadi tumpuan pelbagai organisasi swasta yang menawarkan jawatan kepada beliau.

Terbaharu, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang baru dipecat daripada parti itu dilamar pula oleh sebuah stesen radio swasta, Hot FM.

Menerusi surat terbuka Hot FM yang dimuat naik dalam Instagram, Khairy ditawarkan menjadi penyampai radio bersama Johan, Farah Fauzana serta AG Azmeer dalam segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.

Hot FM memaklumkan, pihaknya ingin menawarkan bekas Menteri Kesihatan itu jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

“Salam tuan KJ (Khairy Jamaluddin), apa kata cuba bidang baharu sebagai penyampai di Hot FM bersama Johan, Fafau (Farah Fauzana) dan AG di Bekpes Hot? On ke tak on?,” tulis Hot FM di ruangan kapsyen.

Dengan lamaran itu, ramai warganet memberikan maklum balas positif.

Samsulanie berkata, orang kalau boleh buat kerja, tak ada masalah… banyak syarikat yang offer (beri tawaran).

“Wah makin hot-lah kalau KJ join Hot FM,” kata Sweetbysurihati.

Tidak kurang juga warganet berseloroh agar KJ menjadi juri dalam program realiti TV seperti Familiduo.

Sebelum ini pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’azim (JDT) FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pantas ‘melamar’ bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut.

Tawaran itu dibuat Tunku Mahkota Johor iru menerusi media sosial sejuru Khairy dipecat daripada UMNO.

“CEO masa depan JDT dan penasihat pembangunan Johor,” tulisnya.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang maklum balas diberikan oleh Khairy berhubung kedua-dua tawaran itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *