Segelintir Guru Pelatih Amal Ajaran Sesat Kahwin Mutaah
2 min read
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menasihatkan segelintir guru pelatih di negara ini mengamalkan kahwin mutaah agar segera meninggalkan perkara itu.
Menerusi kenyataan melalui slot Irsyad Al-Fatwa siri ke-750 yang disiarkan laman sesawang rasminya, agensi itu menyatakan bahawa pernikahan jenis sedemikian adalah dilarang.
“Kahwin mutaah merupakan amalan anjuran gerakan Syiah tetapi Ahli Sunnah wal Jamaah melarangnya berdasarkan dalil hadis ahad, jumhur sahabat dan ijmak ulama,” tambahnya.
Penjelasan tuntas PMWP itu sebagai menjawab persoalan daripada seorang pembacanya mengenai tindakan ramai guru pelatih yang mengakui mengamalkan pernikahan mutaah.
Perlakuan sesat tersebut didakwa banyak berlaku di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Klang dan menjadi perdebatan dalam kalangan guru pelatih di situ.
Perkahwinan kontrak itu berlaku apabila seorang perempuan bujang menikahkan dirinya dengan seorang lelaki dengan mahar tertentu dalam tempoh yang ditetapkan seperti sebulan.
Ia menyaksikan si gadis itu melafazkan akad dengan menyatakan dia menikahkan dirinya sehingga tempoh dipersetujui manakala si lelaki itu cuma menjawab ringkas ‘saya terima’.
Amalan songsang itu antara perkara asas dalam ajaran Syiah Imamiyah dengan ulama mereka menukilkan banyak hadis palsu kononnya ada ganjaran yang besar jika diamalkan.
Mengulas lanjut, PMWP berkata, Islam tegas melarang kahwin mutaah berdasarkan hadis ahad berhubung perintah oleh Rasulullah SAW yang mencegah nikah itu sehingga kiamat.
“Pengharaman itu adalah bersifat mutlak dan turut disepakati jumhur sahabat baginda sendiri selain ijmak pendapat dalam kalangan ulama muktabar kecuali aliran Syiah,” katanya.
Malahan ujar PMWP, al-Baihaqi meriwayatkan daripada imam keenam ajaran Syiah yang dianggap maksum, Jaafar Muhamad sendiri apabila merujuk nikah mutaah sebagai zina.
Justeru, berdasarkan larangan itu, kahwin kontrak tersebut merupakan amalan seleweng dalam Islam dan hanya untuk memuaskan nafsu syahwat dalam jangka masa sementara.
Tujuan pernikahan secara mutaah menunjukkan ada percanggahan matlamat untuk tidak mahu mendapatkan zuriat seperti dianjurkan Islam dengan tidak ubah seperti perzinaan.
Di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan, pihak kerajaan menerusi Akta Pentadbiran Undang-undang Islam 1993 telah pun lama memfatwakan fahaman Syiah sebagai sesat.
Ia hasil susulan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-wilayah Persekutuan ke-90 pada 2015 lalu yang menyifatkan ajaran Syiah sebagai seleweng.
“Bahkan, semua negeri sudah melaksanakan pencegahan awal untuk membendung penyebaran amalan Syiah daripada mempengaruhi umat Islam di Malaysia,” kata PMWP.