Kalau Izzah Tak Terlepas Cakap, Satu Dunia Tak Tahu Lantikan ‘Rahsia’ Itu
2 min readPERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut supaya mendedahkan berapa lagi lantikan ‘rahsia’ yang telah dibuat dibawah pentadbirannya kini.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata, kalau tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan tidak tahu mengenai pembohongan Anwar Ibrahim.
“Kononnya beliau (Anwar Ibrahim) menentang kronisme tetapi sebaliknya dengan secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Padahal, Malaysia ini negara yang kaya dengan kepelbagaian dan telah melahirkan ramai pakar-pakar ekonomi dan kewangan tersohor tanah air.
“Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi.
“Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar! Untung jadi anak Papa!,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Wan Saiful menganggap alasan yang diberikan Perdana Menteri berhubung perkara itu (pelantikan Nurul Izzah) sebagai tidak relevan.
“Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme.
“Rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar. Tetapi rakyat mempertikaikan kenapa lantik anak sendiri?
“Rakyat pun tahu kuasa “Anak Perdana Menteri” apabila dilantik sebagai Penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar.
“Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan.
“Saya menuntut Anwar segera nyatakan berapa ramai lantikan rahsia yang telah dibuat dan siapa lagi yang telah dilantik secara senyap-senyap
“Saya juga menuntut Anwar jelaskan kenapa perlantikan Nurul Izzah dirahsiakan.
“Selain itu, Anwar mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberi kepada Nurul Izzah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme selain menimbulkan kemarahan pembangkang. – Edisi 9