Mulai Hari Ini, Mat Sabu Digelar Datuk Seri…
1 min read
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengetuai senarai penerima gelaran sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Presiden AMANAH itu menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertuan Agong, bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.
Beliau menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri dari Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda, menitahkan kerajaan agar melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.
Seri Paduka berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menurut Seri Paduka, harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.
“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.