Dr Mahathir pasti kerajaan akan tambah hutang untuk laksana Bajet 2023
2 min readTun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan sebagai satu belanjawan dengan peruntukan yang besar memerlukan kerajaan terus buat pinjaman untuk melaksanakannya.
Bercakap kepada pemberita semalam, beliau berkata ketika ini sahaja hutang kerajaan sudah berjumlah RM1.5 trilion dan kerajaan perlu membayar faedah pinjaman berkenaan kira-kira RM40 bilion setiap tahun.
Dengan peruntukan paling besar dalam sejarah negara dalam belanjawan negara, Dr Mahathir berasa Anwar dan kerajaannya perlu membuat pinjaman seterusnya menambah lagi hutang negara.
“Duit banyak hendak dibelanja tapi duit datang daripada mana? Kutipan pula RM90 bilion kurang daripada hasil kerajaan.. Jadi saya percaya mereka (kerajaan) akan pinjam.
“Sekarang ini pun, kita dah pinjam RM1.5 trilion, ini hendak kena hutang lagi lah.. RM1.5 trilion akan mengambil masa bertahun-tahun hendak selesai.. Perlu bayar tiap-tiap tahun RM40 bilion bayar perkhidmatan sahaja, bukan pokok cuma bayar interest sahaja,” kata beliau dalam sidang media mengumumkan penyertaan dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Putrajaya semalam.
Semalam, beliau turut disampaikan oleh Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali dengan kad keahlian seumur hidup dalam Putra dengan nombor B-0000001 yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim tetapi diberikan kepada Dr Mahathir.
Beliau turut dilantik menjadi Penasihat parti Putra dan bebas membuat kenyataan atau memberikan pendapat kepada parti jika ada apa-apa yang dirasakan baik dan perlu dilaksanakan oleh Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau akan berbincang dengan kepimpinan Putra berkaitan kemungkinan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam buah negeri yang pasti akan diadakan tidak lama lagi.
Menjelaskan mengapa beliau memilih parti, beliau berkata selepas keluar dari parti Pejuang, beliau tidak ada platform untuk meneruskan perjuangannya berkaitan agenda dan nasib orang Melayu jadi Putra menjadi pilihan beliau.
“Parti ini cuma alat sahaja, perjuangan ini untuk orang Melayu dan saya dapati kedudukan orang Melayu sekarang ini lebih banyak masalah daripada kaum-kaum lain, kita berjuang bukan kerana perkauman (tetapi) kita perlu melihat supaya orang Melayu dapat bahagian mereka di negara ini.
“Jika dahulu kita menguasai politik, memimpin kerajaan tetapi hari ini (parti) UMNO jadi parti kecil dan kena ikut orang lain, musuh mereka (dan) tak boleh berjuang untuk orang Melayu kerana mesti ambil kira pandangan orang lain,” katanya.
11 orang lagi bekas ahli Pejuang juga menerima kad keahlian mereka semalam yang diserahkan oleh Timbalan Presiden Putra Tan Sri Mohd Khalid Yunus dalam majlis sama. – SEPATAH DUA