Michelle Yeoh menang Oscar Pelakon Wanita Terbaik, ibunya saksi kemenangan dari Kuala Lumpur
2 min readPelakon Wanita Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61 tahun, menepati ramalan ramai apabila menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiar secara langsung dari Dolby Theatre, di Los Angeles, Amerika Syarikat sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama memenangi gelaran berkenaan bagi kategori itu dalam sejarah penganjuran Oscar.
Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Mengenakan gaun putih ketika mengambil trofiy berprestij itu, Yeoh menyifatkan ia adalah perjalanan menakjubkan selama lebih empat dekad dalam dunia seni.
“Ini membuktikan impian boleh menjadi kenyataan. Jangan biarkan sesiapa persoalkan kebanggaan kita.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu saya dan semua ibu di seluruh dunia kerana merekalah adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka, kita semua tidak akan dapat berada di sini.
“Ibu saya berusia 84 tahun dan saya akan bawa trofi ini pulang ke rumah. Ibu menonton sekarang di Kuala Lumpur bersama keluarga kawan-kawan. Saya sayang kamu semua…. Saya akan bawa pulang trofi ini,” katanya.
Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quan Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama, iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.
Susulan itu, Michelle menerima pencalonan dalam Oscar Ke-95 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, sekali gus menjadi pelakon wanita Asia pertama yang mendapat pengiktirafan penganjur, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences untuk dicalonkan dalam kategori utama anugerah berprestij itu.
Sejak beberapa minggu lalu, ketika ‘demam’ Oscar melanda, pengkritik filem dan media Hollywood meletakkan Yeoh sebagai antara calon ‘favourite’ meraih kategori berkenaan.
Kemenangan Yeoh yang mula mencipta nama melalui filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an, disambut gembira peminat terutama di Malaysia yang pantas berkongsi berita itu melalui layangan Twitter dan hantaran dalam media sosial lain.
Mengenakan gaun putih ketika mengambil trofi, Yeoh menyifatkan ia adalah perjalanan menakjubkan selama lebih empat dekad dalam dunia seni.