Sebanyak 62.8 peratus daripada 1,220 responden berpendapat kerajaan Anwar Ibrahim memuaskan
2 min read
Ketua Pegawai Penyelidik Prof. Datuk Dr Baharuddin Aziz (duduk, kiri) bersama pasukan penyelidik Soal Selidik 100 Hari Kerajaan Perpaduan bersama Ketua Penyelaras Penyelidikan El Jiffy Abdul Aziz (berdiri,dua dari kiri) selepas sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.
Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat skor 62.8 peratus daripada kira-kira 1,220 responden yang terdiri daripada orang awam dalam satu kaji selidik yang dibuat sempena selepas 100 hari pentadbiran beliau.
Soal selidik berkenaan dijalankan oleh Fieldwork Intelligence Research Management (FIRM Research) Sdn Bhd selama 10 hari di seluruh negara menggunakan tiga cara kajian iaitu temubual di lapangan, soal selidik atas talian (Google Form) dan panggilan telefon.
Secara keseluruhannya, kira-kira 68.2 peratus daripada responden yakin terhadap kepimpinan Anwar dalam menerajui kerajaan sekarang yang dibentuk pada November tahun lepas usai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ketua Pegawai Penyelidik FIRM Research, Prof. Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata statistik itu menunjukkan seramai 833 orang responden yakin dengan keberkesanan kepimpinan Anwar menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
“Bagi saya, untuk perkara berkaitan membendung kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan adalah yang paling bawah (rendah) sekali iaitu dalam lingkungan 30 peratus sahaja yang bersetuju kerajaan berjaya menangani masalah bebas kos sara hidup manakala selebihnya tidak yakin,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan hasil dapatan soal selidik berkenaan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur semalam.
Dr Baharuddin memetik hasil kajian untuk tajuk ‘Membendung Kenaikan Kos Sara Hidup dan Mengawal Harga Barang Keperluan’ yang merekodkan angka responden berpuas hati yang amat rendah iaitu hanya 31.1 peratus sahaja yang yakin kerajaan mampu melakukannya.
Beliau berharap kerajaan akan mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat berkaitan beban kos sara hidup yang hanya akan meningkatkan tahap kebimbangan rakyat yang dalam keadaan tidak menentu khususnya tentang hala tuju keadaan ekonomi yang kurang baik pada masa ini.
Kaji selidik berkenaan diadakan selama kira-kira 10 hari oleh sepasukan penyelidik yang diketuai oleh Ketua Penyelaras Penyelidikan FIRM Sdn Bhd El Jiffy Abdul Aziz yang menemui orang ramai dan mendapatkan reaksi mereka di seluruh negara.
Semua responden berusia antara 21 hingga 70 tahun. Seramai 310 orang responden datang dari wilayah utara, 274 orang dari selatan, 155 orang dari timur dan 162 orang dari Sabah dan Sarawak.
Ia turut melibatkan seramai 566 orang responden berbangsa Melayu, 320 orang berbangsa Cina, 191 orang berbangsa India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak masing-masing 47 dan 48 orang serta lain-lain kaum iaitu 48 orang.
Antara topik lain yang dikaji dalam soal selidik berkenaan ialah berkaitan Gagasan Malaysia Madani, rasuah serta salah guna kuasa.
Dr Baharuddin berkata kemungkinan satu kaji selidik akan diadakan lagi untuk melihat perkembangan corak pendapat orang awam akan diadakat selepas tempoh Kerajaan Perpaduan mencapai 1 tahun nanti untuk melihat sama ada statistik sedia ada meningkat atau menurun. – SEPATAH DUA