February 24, 2024

Anwar Ibrahim tiba di Arab Saudi untuk lawatan rasmi tiga hari

2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jeddah, Arab Saudi pagi ini bagi memulakan lawatan rasmi sulung ke negara Timur Tengah itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri untuk lawatan tiga hari itu mendarat di Royal Pavillion, Lapangan Terbang King Abdulaziz pukul 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia).

Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam lawatan ini.

Sebaik tiba, Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah bin Jalawi Al Saud dalam upacara sambutan rasmi dengan kawad statik.

Ini juga merupakan lawatan rasmi negara luar ASEAN pertama Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lepas.

Anwar dan delegasi dijadual mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Persatuan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa, hari ini.

Sepanjang lawatan rasmi tiga hari ini, perdana menteri juga dijadual menghadap Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga merupakan Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al Salam.

Pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (ASD10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, eksport ke Arab Saudi, meningkat sebanyak 43.8 peratus berjumlah RM7.28 bilion (ASD1.66 bilion), manakala, jumlah import daripada Arab Saudi mencatatkan peningkatan sebanyak 205.8 peratus berjumlah RM38.24 bilion (USD8.60 bilion).

© Astro Awani 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *