Rundingan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri dalam PN masih berjalan – Presiden Gerakan
2 min read
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Parti Gerakan di Menara PGRM, Cheras malam tadi - Foto SEPATAH DUA ONLINE.
Proses rundingan pembahagian kerusi parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) masih berjalan dan belum diputuskan tetapi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mula membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau berkata persediaan berkaitan strategi ketika berkempen mesti dimulakan sekarang supaya jentera parti bersedia menjelang tarikh penamaan calon kelak.
“Rundingan pembahagian kerusi masih dalam proses yang mana komponen parti yang akan mewakili Perikatan Nasional untuk bertanding keenam-enam negeri itu belum diputuskan.
“Persediaan mesti diadakan, persiapan mesti diadakan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Makan Malam dan Berbuka Puasa sempena Majlis Ulang Tahun ke-55 parti Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur, malam semalam.
Mengulas lanjut berkaitan jumlah kerusi dan negeri yang akan disertai oleh Gerakan, Dominic berkata parti itu sudah pun ada senarai kerusi di kesemua enam negeri yang mereka berhasrat untuk bertanding yang akan dibawa ke dalam rundingan bersama PN.
“Kita ada senarai kerusi yang kita berhasrat untuk bertanding, kita ada senarai calon yang boleh mewakili parti Gerakan di bawah Perikatan Nasional tetapi kita mesti membuat perbandingan dan pemilihan tentang siapa dan komponen parti mana yang akan mewakili Perikatan Nasional yang boleh dapat kemenangan yang lebih besar,” katanya.
Sebanyak enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan mengadakah PRN dalam masa terdekat dan ada ramalan ia dijangka pada Ogos depan.
Menjawab soalan tempoh rundingan dan bila ia akan dimuktamadkan, Dominic berkata biasanya rundingan seperti itu akan berlangsung lama dan kadangkala perubahan kerusi boleh berlaku pada saat-saat akhir sebelum tiba hari penamaan calon.