Jualan sehari tayar motosikal harga Rahmah bengkel Dania Garage diserbu 3,000 orang
2 min read
Pengguna motosikal beratur di depan bengkel Dania Garage untuk mendapatkan tayar motosikal dengan harga Rahmah pada 20 Mac lepas.
Sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor pada 20 Mac lepas telah menawarkan tayar motosikal untuk orang ramai dengan harga Rahmah RM5 dengan niat meringankan beban penunggang motosikal.
Program berkenaan dikenali sebagai Program Amal Tayar Rahmar yang ditawarkan oleh Bengkel Dania Garage.
Pemilik Dania Garage, Mohd Mustakim Mohd Munawir berkata beliau menganjurkan jualan amal dengan konsep Rahmah itu sebagai sebagai penghargaan kepada pelanggan yang menyokong bengkel yang dimilikinya.
@daniagarage Disebabkan bulan Mac ni bulan yang mencabar, jadi kami nak buat TAYAR RAHMAH #fyp #fypシ #daniagarage #rempitotaktakkosong #menurahmah ♬ bunyi asal – Dania Garage Official
“Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.
“Jadi sempena bulan Ramadan ini juga saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, jualan amal selama sehari itu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengguna motosikal.

Mohd Mustakim hanya memperuntukkan satu tayar untuk seorang dengan harga RM5 seunit.
“Program jualan amal ini merupakan jualan tayar motosikal bersaiz 70/90-17 serta 80/90-17, harga jualan sebenar tayar tersebut adalah RM60 seunit yang mana harga Rahmah tayar itu tidak ada dijual di mana-mana tempatlah, setakat ini hanya di bengkel Dania Garage sahaja.
“Saya memikirkan bahawa pada bulan Mac tahun ini merupakan bulan yang amat mencabar kepada pengguna semua kerana sesi persekolahan bermula dan persiapan raya datang serentak yang mana rata-rata memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.
“Sebab itu saya tampil menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah memandangkan sebahagian besar pemilik motosikal ini adalah golongan B40,” ujar Mustakim.
Dania Garage merupakan bengkel motosikal 100 peratus milik Bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang.
@daniagarage Membalas kepada @iKarl137km/h Kita senangkan orang, Allah senangkan kita dunia dan akhirat… Tayar RAHMAH RM5.00, Jangan Ambil Kesempatan #fyp #fypシ #daniagarage #rempitotaktakkosong #menurahmah ♬ bunyi asal – Dania Garage Official
Bengkel tersebut mula beroperasi pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan iaitu dua di Kajang dan satu cawangan lagi di Serdang. Jualan tayar Rahmah berkenaan diadakan di kedua-dua cawangan bengkel berkenaan.
Bengkel Dania Garage amat popular di media sosial khususnya di TikTok dengan jumlah pengikut lebih 506,000 orang. – SEPATAH DUA