May 30, 2023

D’ Tandoor teruskan tradisi sejak 2019, tidak anjurkan bufet Ramadan terbuka elak pembaziran

2 min read

Jenama rangkaian restoran D’ Tandoor baru-baru ini mengumumkan bahawa restoran kendalian mereka tidak akan mengadakan program bufet berbuka puasa secara terbuka kerana tidak mahu melakukan pembaziran.

Amalan ini sudah mula dipraktikkan oleh restoran berkenaan sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, jika ada tempahan khas untuk mengadakan bufet berbuka puasa melibatkan jumlah orang yang sudah diketahui bilangannya rangkaian restoran D’ Tandoor boleh menyediakannya cuma mereka tidak mengadakan bufet secara terbuka.

Pengasas dan Pemilik D’ Tandoor Datuk Abdul Malik Abdullah berkata jika makanan yang tidak habis dimakan, mengikut peraturan yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia tidak boleh digunakan semula.

Menurut beliau, sebelum berbuka, kebiasaanya pelanggan akan mengambil makanan mengikut selera dan selepas berbuka kebanyakannya tidak dihabiskan menyebabkan pembaziran.

“Pelanggan apabila berbuka puasa, mereka akan ambil sangat banyak dan kita tidak boleh kata dengan dia kalau you tak makan habis 100 gram kita akan timbang dan charge kepada you, pinggan akan melanting dan D’ Tandoor akan pergi viral.

“Kami rasa bufet itu akan membuat satu pembaziran kami rela pelanggan buat pesanan dan kami sediakan jadi supaya makanan tidak dibazirkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Media dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA),  di restoran Roti By D’ Tandoor di ibu negara, semalam.

Hasil kajian daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun lepas menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus ketika bulan Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Pada tahun 2021, sekurang-kurangnya 10,000 hingga 15,000 tan makanan dibuang setiap hari oleh rakyat Malaysia sepanjang Ramadan oleh rakyat Malaysia ketika Ramadan semasa negara dilanda pandemik dan daripada jumlah itu, 3,000 tan metrik adalah makanan yang masih belum dimakan.

Dalam majlis berbuka puasa berkenaan Abdul Malik yang juga Pengerusi FMBA menyatakan bahawa FMBA akan mengumpulkan kira-kira 500 persatuan perniagaan dari seluruh negara untuk menjadi suara kepada industri perniagaan di negara ini.

FMBA akan menjadi badan penaung mereka dan akan mengenalpasti semua masalah serta kemelut yang dihadapi oleh para usahawan untuk disampaikan kepada kerajaan memberi pemahaman jelas bagaimana isu yang dihadapi oleh sektor perniagaan di negara ini. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *