Yayasan Ihsan Rakyat agih bantuan barangan asas dapur sempena Ramadan
1 min readYayasan Ihsan Rakyat (YIR) baru-baru ini dengan kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada semalam mengagihkan bantuan barangan dapur sempena Ramadan dan Aidilfitri kepada kira-kira 100 orang penerima.
Satu majlis untuk menyerahkan beg bantuan berkenaan diadakan di Dewan Pusat Khidmat Ahli Majlis Mesyuarat Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8, Seksyen 24 di Shah Alam.
Ia dijayakan gandingan tiga pihak iaitu JKM, MPP Zon 8 di Seksyen 24 dan YIR. Sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YIR, Datuk Rozzana Rahmat.
Kesemua penerima mendapat bantuan berupa barangan asas dapur untuk digunakan untuk memasak juadah khususnya menjelang Aidilfitri nanti.
“Kami bekerjasama dengan MPP di sini dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat… Jadi selesailah hajat kami untuk buat infaq kami di dalam bulan Ramadan ini.
“Itu adalah barang-barang keperluan asas, kami sendiri pun akan sediakan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, susu dan ada sardin juga… Kita tahu keperluan asas ini penting kerana jangka hayat bahan sebegini panjang dan boleh disimpan lama dan ia menambah keperluan asas dapur dari apa yang mereka ada,” katanya kepada media selepas selesai penyerahan berkenaan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai JKM Shah Alam, Zulkifli Mat Isa; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MPP Zon 24, Nur Aisyah; Ahli Majlis MPP Zon 8, Aswani Abdullah; dan Ketua Unit Perkhidmatan Komuniti PKMC Shah Alam, Muhammad Faezal Azman.
Rozzana berkata pihak sentiasa bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk perancangan untuk mengadakan program pengagihan bantuan dan ia akan diberikan berdasarkan kepada permintaan dan keperluan. – SEPATAH DUA