February 24, 2024

Tengku Hassanal ingatkan Kerajaan Negeri Pahang untuk pantau pelaburan elak jejas alam sekitar

1 min read

Kerajaan Negeri Pahang diingatkan supaya memantau pelaburan yang masuk ke negeri ini agar tidak mencemarkan alam sekitar.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, peringatan itu dibuat selepas Pahang menerima tujuh projek pelaburan antarabangsa bernilai lebih RM11 bilion.

“Suka saya nasihatkan pantau betul-betul pelaburan ini. Kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta.

“Paling penting kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal dalam titahnya turut mengingatkan apa jua projek yang dilaksanakan mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

“Ingat. Dalam usaha kita mengejar kemajuan negara dan negeri kita tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan.

“Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai. Lebih-lebih lagi Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai,” titah baginda lagi.

Tengku Hassanal berharap agar pentadbiran baharu kerajaan negeri ini dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat.

Baginda bertitah, kerajaan Pahang harus memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing.

“Ini bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang telah ditetapkan,” titah baginda.

© Sinar Harian 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *