Jalaluddin Serah Kepada Parti Sama Ada Jadi Calon PRN Atau Tidak
1 min read
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersedia sekiranya beliau dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Semasa ditanya pihak media, Datuk Seri Jalaluddin Alias tidak menolak untuk mewakili Barisan Nasional di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ia bergantung kepada keputusan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Keputusan untuk menentukan calon dan kerusi mana yang akan ditandingi akan dibuat oleh Presiden parti.
“Kalau saya diperlukan untuk bertanding dalam PRN insya-Allah saya sedia bertanding, begitu juga sebaliknya,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) di Seremban hari ini.
Bagaimanapun kata Jalaluddin, perkara yang lebih penting ketika ini ialah keperluan memastikan kemenangan dalam PRN akan datang dengan melipat ganda gerak kerja mendekati para pengundi.
“Berapa jumlah kerusi yang ditandingi mesti dipastikan menang dan naratif ini telah disampaikan kepada semua kepemimpinan peringkat bahagian untuk diambil tindakan.
“Bermula bulan ini tiada lagi istilah rehat sebaliknya bekerja keras dalam usaha mendapat keputusan yang boleh mengekalkan kestabilan kerajaan dan meneruskan pembangunan,” ujarnya.
Untuk rekod, Jalaluddin sekarang ini merupakan Ahli Parlimen Jelebu yang dimenangginya sejak dua penggal berturut-turut, dan sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai ADUN Klawang dan Pertang.