December 9, 2023

Hanya dengan jual burger, boleh dapat jualan sehingga RM16,000 sebulan

4 min read

Pemilik stall burger di Seksyen 7, Shah Alam di bawah GTR Burger, Solihin Faeez Mohd Shukri di hadapan satu daripada stall miliknya yang boleh mengutip hasil jualan sehingga RM16,000 sebulan. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Berniaga burger mungkin dilihat sebagai satu perniagaan yang kecil dan mudah tapi siapa sangka penjual burger jalanan mampu menjana kutipan jualan sehingga paling tinggi RM16,000 sebulan.

Bagi peniaga burger jalanan GTR Burger Solihin Faeez Mohd Shukri, kutipan hasil jualan bulanan yang paling rendah yang dikutip oleh stall beliau ialah RM9,000.

Beliau bermula berniaga burger pada bulan April tahun lepas dengan stall pertama beliau di Seksyen 7, Shah Alam yang berdekatan dengan beberapa kampus institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Saya sudah bersama dengan GTR Burger masuk bulan ini sudah 1 tahun 1 bulan, saya bermula pada 4 April 2022, saya ingat lagi itu adalah hari kedua bulan Ramadan tahun lepas.

“Bermula dengan 1 stall, stall di sini (Seksyen 7, Shah Alam) yang kita sedang berada sekarang ini. Stall di Seksyen 7 diuruskan oleh pekerja Solihin, Muhammad Shahrul Nizam Ramli.

“Saya berkembang dan berkembang sehingga kini saya ada 7 stall di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui.

Stall lain yang dikendalikan oleh Solihin ialah di Seksyen 9 Shah Alam; Seksyen 13 Shah Alam, Seksyen 7 Putra Heights, Seksyen 10 Putra Heights, Puncak Alam Jaya dan paling terkini, stall beliau di Balakong yang mula beroperasi tiga bulan lepas.

Solihin berkata kutipan jualan harian secara purata setiap hari di Seksyen 7, beliau boleh mendapat RM400 hingga RM450 dan paling tinggi ada kutipan jualan yang mencecah RM600 ketika cuti umum atau ketika pelajar universiti sedang ramai di kampus.

Selain di Seksyen 7, hasil jualan di lokasi lain juga agak tinggi, katanya.

Lokasi stall GTR Burger milik Solihin terletak berdekatan dengan kampus Universiti Selangor (UNISEL) di Seksyen 7, Shah Alam. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

“Dalam banyak-banyak stall saya, yang paling saya kata gempak adalah di Seksyen 7, Putra Heights dengan jualan purata sehari boleh mencapai RM600 ke RM700.

“Jadi, purata hasil jualan di kesemua 7 stall ialah sekitar RM300 hingga RM700 setiap hari,” katanya.

Kata Solihin, walaupun hanya berniaga burger hasil jualan bulanannya juga “kencang” dan paling rendah ialah kira-kira RM9,000 dan paling tinggi beliau pernah dapat ialah sekitar RM16,000 sebulan.

Jual GTR Burger Hanya Perniagaan Sampingan

Menurut beliau, perniagaan menjual burger bersama GTR Burger hanyalah satu perniagaan sampingan sahaja kerana sebelum itu, beliau sudah pun merupakan seorang peniaga di dalam industri makanan dan minuman.

“GTR Burger ini sebenarnya adalah perniagaan sampingan saya.

“Sebelum GTR Burger saya berniaga juga dalam industri makanan dan minuman, saya mempunyai satu outlet Tealive di Seksyen 13, Shah Alam.

“Satu stall saya di Seksyen 13, saya letakkan betul-betul di hadapan outlet Tealive saya,” katanya.

Menjawab soalan kenapa memilih GTR Burger sedangkan diri sendiri sudah pun berniaga bersama dengan jenama besar, Solihin berkata faktor membuatkan beliau memilih GTR Burger ialah kerana beliau berasa diri beliau sudah pun berada dalam zon selesa.

Pekerja di stall GTR Burger milik Solihin, Muhammad Shahrul Nizam Ramli untuk menjaga dan mengendalikan perniagaan setiap hari. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Katanya, jika sudah ada di dalam zon selesa dengan rutin harian yang sama, seseorang itu sedang dalam zon bahaya.

“Jadi, saya mencari untuk hendak berniaga apa. Kebetulan saya berkongsi cerita dengan sahabat baik saya yang saya kenal sewaktu zaman belajar dahulu, dia juga merupakan seorang staller dan dulu stall dia berada di SS15, Subang Jaya.

“Dia ajak saya (sertai GTR Burger). Jujur saya kata, lama saya fikir untuk buat keputusan berniaga burger, ibaratnya dah biasa berniaga di kedai tiba-tiba saya turun di jalanan untuk buka stall burger, satu hari tu saya nekad, saya terus bayar untuk stall saya, bila stall sampai, langkah kanan kita jalan terus,” katanya.

Solihin menyifatkan keputusan memilih GTR Burger merupakan satu keputusan terbaik yang beliau pernah ambil dan sehingga hari ini terus berkembang maju.

Rancang Buka 15 Stall GTR Burger Terus Tahun Ini

“Daripada 1 stall, ia sudah berkembang menjadi 7 stall dan saya juga merupakan stokis GTR Burger di Puchong, Selangor.

“Perancangan saya di masa hadapan, saya tak nak lah duduk sahaja, terima dengan apa yang kita ada, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menambah baik kedudukan kita dan ada rezeki lebih saya ingat hendak tambah sehingga 15 stall tahun ini,” katanya.

Beliau menyeru, jika ada sesiapa yang sudah mula termimpi GTR Burger yang kini banyak terdapat di mana-mana, ia adalah satu petanda bahawa orang itu perlu segera bermula berniaga dengan GTR Burger.

“Untuk orang yang mungkin dah sampai mimpi GTR Burger, itu dah mungkin satu seru, untuk mereka yang berminat boleh terus pergi ke laman web www.gtrburger.my, di situ ada nombor khidmat pelanggan dan mereka boleh hubungi terus.

BACA JUGA – Dulu Terpaksa Berhenti Kerja, Kini Mohd Ismi Mampu Upah Pekerja Dengan GTR Burger

“Mereka (GTR Burger) akan guide sesiapa yang berminat dari A sampai Z, daripada proses pengenalan sampai proses pemilihan tempat, proses pengisian borang dan sebagainya sehinggalah sampainya stall di lokasi perniagaan,” katanya.

Sepanjang masa berniaga, pihak GTR Burger akan terus memberikan bimbingan bagaimana untuk berniaga dengan betul, bagaimana buat pemasaran dengan betul, bagaimana untuk kita asah bakat kita untuk mereka yang tidak pandai memasak dan sebagainya.

Sehingga hari ini, jenama GTR Burger ada lebih 300 staller di seluruh negara dan sedang dalam perancangan untuk menambah stall kepada 1,000 pada tahun ini. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *