February 24, 2024

Kumpulan pertama jemaah haji akan berlepas awal pagi nanti dari Kelantan dan Kedah

1 min read

Kebiasaannya, kumpulan sulung bakal jemaah haji berlepas ke Tanah Suci dengan diraikan terlebih dahulu di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, di Sepang, Selangor.

Mereka kebiasaanya merupakan jemaah sekitar Lembah Klang yang akan mendaftarkan diri di Kompleks Tabung Haji sebelum dibawa dengan menaiki bas khas ke KLIA.

Bagaimanapun, pada tahun ini, acara pelepasan itu dilihat agak unik apabila kumpulan pertama akan berlepas ke Tanah Suci merupakan jemaah dari negeri di luar Lembah Klang.

Menurut jadual aturcara disediakan pihak Tabung Haji kepada media tempatan, kumpulan pertama itu akan transit di KLIA dari stesen balai berlepas Alor Setar, Kedah dan Kota Bharu, Kelantan.

Jemaah terbabit akan menaiki pesawat masing-masing di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pukul 9 malam ini.

Mereka yang berjumlah seramai 284 orang itu dijangka sampai di KLIA pada pukul 10.30 malam sebelum menaiki pula pesawat Saudia penerbangan SV 841 pukul 2.15 pagi esok.

Berdasarkan aturcara yang diedarkan kepada media, kumpulan itu akan diraikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

© Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *