September 26, 2023

Usaha untuk mencari pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim mungkin berdepan kesukaran

2 min read

Gambar Muhammad Hawari Hashim pada tahun 2022.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim, 33 tahun, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest, berkemungkinan berhadapan kesukaran, sekiranya mangsa terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse.

Rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest, M Magendran berkata lereng Gunung Lhotse sangat curam, dan sekiranya pendaki tergelongsor, mereka boleh terjatuh ke kawasan kaki gunung yang penuh dengan glasier yang diliputi serpihan dan rekahan ais.

“Kawasan kaki Gunung Lhotse agak luas dan perlukan masa yang lama untuk cari, ditambah dengan rekahan ais yang ada…sekiranya mangsa termasuk dalam rekahan maka usaha mencari semakin sukar,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian oleh Bernama TV.

Beliau yang berjaya menakluk Gunung Everest pada 1997 berkata meskipun usaha mencari bakal berhadapan kesukaran, namun ia tidak mustahil untuk menemukan mangsa berdasarkan pengalaman pada tahun 1997, apabila seorang ‘sherpa’ yang tergelincir dan jatuh di lereng Gunung Lhotse dari ketinggian 1,000 meter ke bawah, berjaya ditemui.

Magendran berkata apa yang dibimbangi adalah sama ada mangsa membawa bekalan oksigen yang mencukupi untuk menuruni lereng Gunung Lhotse yang begitu berbahaya.

“Jika beliau gunakan oksigen sepanjang naik ke puncak Gunung Everest, oksigen dalam balang yang dibawanya tidak cukup untuk digunakan bagi menuruni gunung hingga ke Kem 4… tetapi mungkin juga dalam perjalanan beliau telah tukar balang oksigen.

“Jadi saya tidak pasti sama ada rakan pendaki kita ini sudah tukar balang oksigen baharu atau sudah bawa bekalan oksigen tambahan, semasa beliau buat keputusan untuk turun ke Kem 3 atau Kem 2… itu satu persoalan yang kita tidak tahu. Jika oksigen tidak mencukupi seseorang itu boleh mengalami sindrom akut gunung (AMS) yang boleh sebabkan mangsa berilusi,” katanya.

Semalam, Muhammad Hawari yang merupakan antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56 tahun, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang, telah memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *