December 9, 2023

Wakil Rakyat Jelebu bimbang permintaan Ahmad Maslan supaya undi DAP akan disalah tafsir

2 min read

Sebenarnya, permintaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) memangkah calon DAP ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti jelas akan membawa satu suasana janggal penyokong UMNO.

Lebih-lebih lagi, penyokong atau ahli yang sudah lama sejak azali mengundi BN bermula dari masa awal-awal lagi selepas merdeka.

Bertahun dan lama menyatakan bahawa pengundi harus tolak DAP dan jangan undi parti itu kerana konsep serta prinsipnya, tapi pada PRN di enam buah negeri nanti mereka diminta undi DAP demi Kerajaan Perpaduan.

Bagi Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, UMNO tidak perlu berkempen dengan cara meminta undi menyokong mana-mana parti di dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.

Kempen seperti itu dibimbangi akan disalah tafsir dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang yang mengundi UMNO, katanya.

“Bagi saya kita tak perlu mengarah atau menyuruh mana-mana ahli parti atau pengundi untuk beri undi atau pun menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini kerana pengundi sudah mempunyai keputusan mereka sendiri dan saya harap semua pihak lebih berhati-hati dan tidak menyentuh apa-apa perkara yang boleh disalah tafsir,” katanya dalam berita Sinar Harian, semalam.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata menjelang PRN, UMNO sepatutnya berusaha menyakinkan rakyat yang kerajaan hari ini adalah yang terbaik.

Beliau berkata misi dan agenda dalam manifesto nanti yang akan ditawarkan kepada rakyat adalah yang paling penting supaya mereka yakin dengan kerjasama yang dibentuk antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita kena tunjukkan yang kerjasama antara BN dan PH ini dapat beri manfaat yang lebih berlipat ganda berbanding kerajaan sebelum ini.

“Tapi jika ada yang rasa kaedah kempen meminta sokong parti itu terbaik, terpulanglah. Tapi bagi saya di Negeri Sembilan dalam tempoh dua bulan ini adalah tempoh untuk yakinkan rakyat,” katanya.

UMNO perlu menunjukkan pada pengundi apa sumbangan parti itu dalam kerajaan ketika kerjasama supaya undi untuk BN dan UMNO kembali meningkat seterusnya memberikan keputusan yang baik untuk Kerajaan Perpaduan.

Apabila minta undi untuk diberikan kepada DAP, bayangan dalam kepala pengundi akan kembali teringat pada kata-kata kesat serta kritikan buruk pemimpin DAP kepada UMNO dan BN sejak sekian lama.

Sudah pasti hati mereka berat untuk membuat pilihan ketika PRN untuk undi parti yang kononnya dulu lawan sekarang kawan itu. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *