Mula jual burger empat bulan lepas, kini sudah dalam proses buka stall kedua
3 min read
Pemilik Stall GTR Burger Denai Alam, Mohd Zariq Mohd Noor di hadapan stallnya yang mula dibuka pada 22 Februari lepas. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.
Ada sesetengah individu yang sudah lama bekerja dalam bidang pekerjaan yang mendapat pendapatan bulanan ribuan ringgit kemudian berhenti kerja untuk berniaga dalam pelbagai jenis perniagaan sebagai sumber pendapatan.
Kebanyakan dari kumpulan individu itu akan memilih untuk berniaga dalam industri makanan dan minuman.
Ramai di antara mereka untuk membuka restoran tetapi ada juga yang memilih untuk berniaga burger di jalanan.
Bagi Mohd Zariq Mohd Noor, beliau mengambil langkah berhenti kerja dalam bidang minyak dan gas selama lapan tahun dan berniaga makanan dan minuman. Sebelum ini, beliau terlibat bekerja di atas pelantar minyak.
Beliau pilih GTR Burger dan stall beliau ada di Denai Alam, Shah Alam.
“Pengalaman kerja saya selama lapan tahun dalam bidang minyak dan gas serta pengurusan hartanah.
“Saya berhenti kerja pada tahun 2022 dan memulakan perniagaan makanan dan ia kekal sehingga sekarang.
“Saya ada dua perniagaan makanan termasuk dengan GTR Burger di Denai Alam,” katanya.
Mohd Zariq berkata stall Denai Alam mula dibuka pada 22 Februari tahun ini merupakan antara staller-staller yang masih baharu dibuka di bawah jenama GTR Burger.
“Saya kini sedang dalam proses untuk membuka stall GTR Burger yang ke-2 dalam masa terdekat di Elmina Temu yang berdekatan juga dengan Denai Alam,” katanya.
Dapat Tahu Tentang GTR Burger Dari Media Sosial
Beliau dapat tahu tentang GTR Burger ialah melalui media sosial apabila ramai netizen yang membincangkan topik berkenaan GTR Burger membuatkan dirinya tertarik dan kemudian membeli serta merasa produk GTR Burger.
“Saya mula membeli GTR Burger dan satu persatu kita cuba. Apabila saya rasa, burgernya memang ada kualiti untuk pergi lebih jauh lagi dan daripada segi jenamanya pun sangat bagus.
“Seorang daripada kawan saya juga merupakan staller GTR Burger dan saya berkomunikasi dengan dia untuk membuka stall ini,” ujarnya.
Selain faktor itu, Mohd Zariq turut memilih GTR Burger kerana melihat ada ramai peminat GTR Burger di negara ini yang menyukai menu-menu yang ada.
Menurut beliau, kutipan jualan purata di kawasan Denai Alam untuk stall beliau amat tinggi kerana menu GTR Burger Premium Grass Fed begitu popular dan ia sering dipesan.

“Purata jualan harian ialah kira-kira RM500 – RM600 dan jualan paling tinggi ialah mencecah RM1,000 lebih untuk sehari dan kutipan bulanan mencapai RM14,000 hingga RM15,000 sejak saya mlula berniaga.
“Bagi pendapatan bersih, saya boleh dapat dalam RM5,000 ke RM6,000,” kata Mohd Zariq.
Pada hari pertama pembukaan stall berkenaan kutipan jualannya mencecah RM700, menurutnya.
GTR Burger Akan Beri Latihan Penduduk Miskin Di Bandar Cari Pendapatan
Menurut pandangan Mohd Zariq, GTR Burger merupakan satu pintu yang membuka peluang untuk perniagaan bagi sesiapa sahaja yang ingin berniaga kerana urusan kerja dalam perniagaan amat tersusun.
“Dengan adanya sistem yang baik, ia adalah jalan yang baik untuk seseorang itu memulakan perniagaan.
“Ia juga membuka peluang pekerjaan juga kepada sesiapa yang ingin mencari kerja untuk bekerja dengan staller GTR Burger,” katanya.
Sekarang, jenama GTR Burger ada lebih 350 stall di seluruh negara dan sedang dalam perancangan untuk menambah stall menjadikan jumlah 500 buah menjelang bulan depan dan 1,000 stall pada tahun ini.
Pada 19 Mei lepas, Pengasas GTR Burger yang juga Pengasas Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat menerima Surat Kelulusan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) untuk memberikan latihan kemahiran keusahawanan dan perniagaan kepada golongan B40 di kawasan bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Program tersebut dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah diperkenalkan sejak 2013.
Pengasas Kelab GTR, Nordin Mat menerima surat berkenaan daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti KPKT, Suhaimi Ali dalam satu majlis yang diadakan di Putrajaya.
Kelab GTR akan memberikan latihan kepada penduduk miskin di bandar yang berdaftar dengan E-Kasih ilmu perniagaan khususnya menjual burger untuk membolehkan mereka dapat mencari pendapatan untuk keluar dari paras kemiskinan. – SEPATAH DUA