Kenangan pahit 22 tahun lalu tidak patahkan semangat untuk terus yakin berniaga burger jalanan
4 min read
Staller GTR Burger Damansara Perdana Ahmad Zairee Zainal Abidin ada sejarah pengalaman banyak dalam bekerja dan berniaga malahan beliau pernah menjadi pemandu teksi selama 12 tahun dan penghantar makanan sebelum sekarang berniaga GTR Burger. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.
Dalam satu rangkaian perniagaan, hubungan yang kuat di antara pengasas dan juga peniaga-peniaga amat mustahak dalam memastikan sesuatu jenama itu terus maju menapak ke depan dan terus kekal relevan.
Kekuatan hubungan antara para peniaga juga tidak kurang penting untuk sentiasa menyokong di antara satu sama lain supaya peniaga sendiri kekal kuat dan berniaga dengan baik.
Itulah yang ada dalam cerita seorang staller GTR Burger yang berniaga di Damansara Perdana iaitu Ahmad Zairee Zainal Abidin yang mula mengukir cerita bersama GTR Burger pada 28 Ogos 2022.
Kisah melibatkan staller ini amat unik kerana stall yang dikendalikan oleh beliau adalah stall yang diberikan oleh seorang staller lain iaitu Mohd Ismi Fizal Ilham yang berniaga di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) atas dasar persahabatan yang lama apabila mereka berdua merupakan seorang penghantar makanan Food Panda sebelum ini.
Pada awalnya, Ahmad Zairee banyak menghabiskan masa di stall GTR Burger TTDI dan setiap hari makan GTR Burger Smokey Daging.
Menurut beliau, ada satu masa beliau diminta oleh Mohd Ismi Fizal untuk memasak sendiri burger dan terlihat olehnya kecekapan Ahmad Zairee memasak lantas dipelawa untuk menyertainya menjual burger.
BACA JUGA ARTIKEL – Dulu Terpaksa Berhenti Kerja, Kini Mohd Ismi Mampu Upah Pekerja Dengan GTR Burger
“Pada masa itu, dia terus pelawa saya sertai. Pada mulanya, saya ingat perkara ini hanya berbual-bual biasa dan tidak serius kerana tidak ada sebarang perjanjian.
“Pada satu hari, hari Khamis, hujan lebat, tiba-tiba dia (Mohd Ismi Fizal) telefon saya, Zack kau punya stall Damansara Perdana dah sampai, lori dah sampai, kau pergi ambil, saya pun cakap, kau biar benar, aku mana ada modal, dia suruh saya pergi ambil dulu,” katanya.
Menurut beliau, pada masa itu beliau termenung lama melihat stall yang diterima kerana memikirkan mahu meneruskan berniaga burger atau tidak dan membuat keputusan meneruskannya pada masa itu.
Ahmad Zairee Antara Staller Paling Banyak Sejarah Kerja dan Sejarah Berniaga
Ahmad Zairee boleh dikatakan sebagai staller GTR Burger yang ada senarai yang panjang pekerjaan apa yang pernah dibuat sebelum bersama dengan GTR Burger.
Beliau pernah bekerja di restoran makanan segera McDonald’s selama 4 tahun, bekerja di Starbucks selama 8 bulan, Carefour Pulau Pinang 3 tahun, City Link Credit Department 2 tahun, Pengawal Kredit 2 tahun, pemandu teksi 12 tahun, IKEA Bistro tukang masak karipap 2 tahun dan akhirnya sebagai penghantar makanan 3 tahun.
Ada sejarah pahit yang tidak mahu diceritakan lagi oleh Ahmad Zairee mengenangkan kisahnya dulu yang pernah menjual burger jalanan selama 2 tahun tetapi tidak kekal lama.
“Kisah yang pahit jangan dikenang tapi itulah kenangan saya kerana saya pernah menjual burger pada 22 tahun yang lepas tetapi berakhir dengan satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan yang saya anggap sebagai satu sejarah hitam.
“Dengan semangat yang ada saya berhijrah dari perniagaan saya bekerja, saya berhijrah ke Kuala Lumpur, saya menjadi pemandu teksi selama 12 tahun, saya pernah bekerja dekat syarikat IKEA sebagai tukang masa karipap selama 2 tahun dan selepas itu saya sertai Food Panda sebagai rider dan akhir sekali Encik Ismi yang juga jiran menawarkan saya untuk berniaga bersama GTR Burger,” katanya.
Berniaga di kawasan Damansara Perdana di mana terletaknya banyak bangunan pejabat, jualan burger Ahmad Zairee pada awalnya agak rendah tetapi kemudian bertumbuh sehingga sekarang menerima purata jualan kira-kira RM500 sehari.
“Untuk 3 bulan pertama saya masih tak nampak kemajuan perniagaan saya tetapi selepas tiga bulan, hasil tu baru datang, kalau nak kata sales paling tinggi adalah bulan terkini, saya cecah RM16,200 dan sales harian paling tinggi pernah saya buat ialah RM850.

“Purata sales saya 3 bulan pertama ialah RM250 sehari saya risau juga, takkan dengan RM250 tu saya nak bertahan lepas 3 bulan naik sehari RM300, makin naik dan sampai sekarang sales saya ialah kira-kira RM500 hingga RM600 setiap hari,” menurutnya.
Beliau berkata selepas dikira perbelanjaan untuk kos perniagaan, pendapatan bulanan yang beliau terima ialah hampir RM7,000 hingga RM9,000 sebulan.
Sistem GTR Burger Basic Tapi Amat Memudahkan dan Mempercepatkan
Membuka bicara tentang GTR Burger pula, Ahmad Zairee berkata sistem yang digunakan untuk urusan perniagaan seharian yang diperkenalkan GTR Burger adalah sistem yang asas tetapi amat memudahkan serta mempercepatkan kerja.
“Sistem yang digunakan adalah basic tetapi benda semua mudah, memang sangat mudah, saya kerja sorang-sorang, saya boleh masak, saya boleh masukkan order, saya boleh kira duit keluar masuk dengan betul dan tepat.
“Saya boleh check order saya, item saya kurang atau lebih semua saya boleh semak, dan ia amat memudahkan,” katanya.
Beliau sekarang ini amat yakin dengan jenama GTR Burger yang dilihat sentiasa ada perancangan untuk terus memajukan jenama itu sehingga terus dikenali sebagai burger jalanan pujaan ramai di negara ini.
“Saya rasa mereka (pengasas) bijak dan itu adalah perkara yang saya dapat gambarkan, saya rasa mereka ada lagi perancangan lain untuk dibuat dan saya ternanti-nanti apa yang mereka ingin buat dan saya akan sahut cabaran mereka,” katanya.

Sekarang, jenama GTR Burger ada lebih 350 stall di seluruh negara dan sedang dalam perancangan untuk menambah stall menjadikan jumlah 500 buah menjelang bulan depan dan 1,000 stall pada tahun ini.
Pada 19 Mei lepas, Pengasas GTR Burger yang juga Pengasas Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat menerima Surat Kelulusan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) untuk memberikan latihan kemahiran keusahawanan dan perniagaan kepada golongan B40 di kawasan bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Program tersebut dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah diperkenalkan sejak 2013.
Beliau menerima surat berkenaan daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti KPKT, Suhaimi Ali dalam satu majlis yang diadakan di Putrajaya.
Kelab GTR akan memberikan latihan kepada penduduk miskin di bandar yang berdaftar dengan E-Kasih ilmu perniagaan khususnya menjual burger untuk membolehkan mereka dapat mencari pendapatan untuk keluar dari paras kemiskinan. – SEPATAH DUA